Alyah Nafi Elak Media


Agak lama juga kelibat penyanyi Kisah Hati ini tidak kelihatan di media massa atau majlis besar. Justeru, kemunculannya pada Konsert Ekspresi Harian Metro 2013 di Dataran Merdeka baru-baru ini tentu saja mendapat perhatian wartawan, yang ingin mendapatkan pelbagai cerita terbaru mengenainya.
Ketiadaan Alyah buat seketika bukanlah kerana dia melarikan diri daripada sesiapa. Sebaliknya, penyanyi berusia 32 tahun ini inginkan sedikit masa untuk diri sendiri, selain meluangkan waktu bersama keluarga tercinta.

Apatah lagi sejak lima tahun lalu, dia seakan bekerja keras tanpa bercuti. Maklum saja, kejayaan demi kejayaan dicapai selepas kira-kira sedekad mencuba tidak mahu dilepas berlalu begitu saja tanpa ada susulan yang turut meninggalkan impak buat kerjaya seni serta peminat.

Lalu, baru-baru ini Alyah nekad untuk memperuntukkan sedikit masa buat diri sendiri. Lebih-lebih lagi, pelbagai kontroversi bagai mengikut jejaknya, yang turut membuatkan dia mengambil keputusan ‘mendiamkan diri’ buat seketika. Paling tidak, segala cerita kurang enak itu mempunyai hikmahnya juga, apabila ia dijadikan alasan untuk berehat buat sementara.

Lupakan dugaan

Kontroversi adiknya yang ditangkap bagi membela diri di Mahkamah Sesyen Johor Bahru terhadap pertuduhan melakukan samun pada pertengahan tahun lalu, pertikaian mengenai pakaian yang sepatutnya digayakan pada Anugerah Planet Muzik bersama pereka fesyen terkenal pada Disember 2012, serta kehilangan sejumlah wang daripada akaunnya yang dikaitkan dengan bekas pembantu peribadi pada Januari lalu antara rentetan cerita panas yang sudah pasti membuatkan artis ini tidak senang duduk.
Kini, selepas dua bulan berehat, mungkin tekanan dialaminya kian reda dan dia sendiri sedia untuk aktif semula. Persembahan di Dataran Merdeka Sabtu lalu menjadi kemunculan sulungnya di khalayak pada 2013.

“Saya tidak lari ke mana pun, hanya berjalan-jalan di sekitar dalam negara. Jika sebelum ini saya tak dapat menghadiri majlis perkahwinan kenalan, jadi masa cuti saya manfaatkan dengan meluangkan masa dengan banyak benda.

“Mungkin jika tiada kontroversi ini, saya tak berehat. Jadi mungkin inilah hikmahnya apabila saya perlu berehat seketika. Saya pernah menghadapi dugaan seperti ini tak lama dulu dan saya tak suka cakap berulang kali, biarlah ia berlalu seperti itu saja,” katanya kepada HIP.

Rakam album kedua

Dalam diam, rupa-rupanya Alyah juga sibuk menyiapkan album kedua.

“Ia sudah 90 peratus siap dan akan dipasarkan April atau Mei depan,” katanya mengenai album yang memuatkan tujuh lagu lama termasuk Kisah Hati, Kau Yang Terindah dan Realiti Dewi, selain dua lagu baru.

Gembira dengan hasilnya Alyah memberitahu, sudah lima tahun dia tidak menghasilkan album. Sebelum ini dia hanya muncul dengan single demi single.

“Selain mengumpul lagu, saya juga mengeluarkan album dengan usaha dan belanja sendiri. Jadi perjalanan agak terbatas, tapi ia bukan alasan dan saya masih mahu mengeluarkan album kerana itulah impian saya,” katanya yang memilih judul Kisah Alyah.- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard