Zamani Cerita Soal Jodoh

Zamani
AMPANG: Vokalis kumpulan Slam, iaitu Zamani masih belum berputus asa mencari pasangan hidup selepas mengalami kegagalan dalam hubungan cinta sebanyak dua kali sebelum ini.
Zamani, 42, berkata, pada usianya kini dia sentiasa berharap akan kehadiran seorang wanita dalam hidupnya suatu hari nanti.
"Saya tidak menolak jika bertemu jodoh pada usia sekarang kerana masih belum berputus asa mencari pasangan sesuai untuk saya.
"Ciri-ciri pada seorang wanita bukan menjadi keutamaan kerana yang penting dia dapat menerima bukan sahaja kebaikan tetapi juga kekurangan pada diri saya.
"Walaupun pernah putus cinta sebanyak dua kali sebelum ini tetapi itu tidak bererti saya sudah serik mencari jodoh cuma belum sampai masanya lagi," jelasnya.
Zamani ditemui pada sidang media Minggu Setiausaha Bersama Zamani di sini, Selasa.
Persembahan eksklusif itu bakal diadakan pada 9 April depan di Kelab Darul Ehsan (KDE) bermula pukul 12 tengah hari hingga 2 petang.
Pelawak Man (Raja Lawak) dan Fida Ibrahim turut dijemput untuk memeriahkan persembahan yang dijangka akan dihadiri kira-kira 300 tetamu itu.
Dalam pada itu, ditanya mengenai keadaan fizikalnya yang kelihatan cengkung, Zamani berkata, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menaikkan berat badan namun gagal.
Menurutnya, selera makannya seperti biasa seperti individu lain tetapi keadaan fizikalnya tetap sama sejak dahulu.
"Dari dulu berat badan saya 45 kilogram dan macam-macam usaha dibuat untuk tambahkan berat badan tapi tak berjaya.
"Malah sekarang badan saya turun dua kilo sehingga ada yang menegur saya kelihatan sakit," jelasnya.
Bagaimanapun kata Zamani, dia tidak terlalu memikirkan tentang perkara itu kerana baginya dia mengamalkan pemakanan seimbang supaya kekal sihat.
Dalam perkembangan lain, Zamani berkata, dia sangat teruja dengan persembahan Minggu Setiausaha KDE itu kerana ini adalah kali pertama dia terlibat dalam persembahan eksklusif berkenaan.
Zamani akan mempersembahkan 10 buah lagu pada acara itu nanti selain menyelitkan beberapa segmen bersama penonton.
"Setakat ini kami masih berbincang untuk memberi kelainan kepada persembahan itu nanti namun yang pasti saya akan cuba memberikan yang terbaik," jelasnya.
- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard