Kaka tumpang populariti Zizan?


Kehadiran penyanyi bertubuh genit ini dalam industri seni, pantas menarik perhatian ramai peminat. Apatah lagi, single pertamanya, Bawaku Pergi, yang turut menampilkan Zizan, menjadi siulan ramai.

Biarpun hanya tampil dengan satu lagu, masih ramai yang mengingati dan menanti buah tangan terbaru dari pemilik nama sebenar, Nor Atiqa Noor Azraff ini.

Justeru, bagi mengubati dan menunaikan permintaan peminatnya, Kaka kembali dengan single baru ciptaan Amar dari kumpulan Drama Band.

“Ini lagu pertama saya nyanyikan secara solo. Buat masa ini tajuknya juga belum diberikan.

“Berbeza daripada single pertama, lagu kali ini lebih menguji dan menonjolkan vokal saya. Manakal dari segi genre pula ia mengetengahkan rentak RNB Balada,” katanya  baru-baru ini.

Tambahnya, single itu dijangka akan siap sepenuhnya dalam masa yang terdekat dan dijangka akan dilancarkan akhir bulan ini.

Tumpang populariti Zizan?
Sudah menjadi lumrah dan asam garam anak seni, mereka sering dikaitkan pelbagai kontroversi dan Kaka juga tidak terlepas daripada perkara itu.

Sering dilihat bersama Zizan di beberapa majlis tertentu, Kaka kini dikatakan cuba mengambil kesempatan terhadap populariti pelawak dan pengacara itu.

“Apa yang dikatakan khabar angin itu adalah tidak benar sama sekali. Saya sudah menganggap Zizan seperti seorang abang dan saya amat terhutang budi kepadanya kerana dialah orang yang bertanggungjawab membawa Kaka ke dalam industri ini.

“Walaupun sering bersama menghadiri majlis tertentu, itu juga tidak bermakna kami sepasang kekasih. Hubungan saya dengannya hanyalah sekadar hubungan profesional dan tidak lebih daripada itu,” katanya.

Bagaimanapun, Kaka akui tidak mampu mengubah pemikiran negatif sesetengah pihak dan sebagai seorang penyanyi, dia tidak mahu terlalu memikirkan soal itu.
- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard