Misha Kahwin Tahun Depan



SEPANJANG bergelar penyanyi dan pelakon ternyata Samiha @ Aisah Omar, 30, atau lebih sinonim dengan panggilan Misha Omar antara artis yang tidak dapat lari daripada berhadapan dengan beberapa kisah kontroversi.
Sewaktu pada awal kemunculannya dalam bidang seni suara dahulu, terdapat spekulasi yang mengatakan dia merupakan penyanyi yang sebenarnya sudah bergelar seorang janda.
Selain itu, artis kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu juga didakwa sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki bergelar jutawan dan dikatakan menjadi isteri ketiga.
Segala kontroversi yang pernah dikaitkan dengan pelantun lagu Bunga-Bunga Cinta itu berakhir sebaik sahaja dia mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hatinya iaitu Firos Ezzwan Rossly, 30, yang merupakan juruterbang Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) pada 21 Februari lalu.
Berlangsung dalam satu majlis yang serba ringkas di rumah keluarganya yang terletak di Kampung Guchil Bayam, Kota Bharu, Misha dan Firos telah sepakat untuk melangsungkan perkahwinan pada tahun ini.
Namun begitu, beberapa bulan selepas mengikat tali pertunangan Misha telah mengumumkan terpaksa menangguhkan perkahwinan mereka lantaran kesibukan jadual masing-masing.
Ketika ditanya sama ada dia sudah menetapkan tarikh yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga, Misha yang ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan Shiseido di Publika, Solaris Dutamas baru-baru ini menyatakan belum ada sebarang keputusan yang dibuat.
"Kalau diikutkan saya memang mahu berumah tangga secepat mungkin. Setelah berbincang dengan Firos, akhirnya kami telah sepakat untuk menangguhkan perkahwinan kami pada satu tarikh yang belum ditentukan lagi.
"Buat masa ini tunang saya agak sibuk menjalani kursus penerbangan selama enam bulan. Sebaik sahaja dia tamat menjalani kursus, barulah kami akan mencari tarikh yang sesuai, namun saya tetap berhasrat untuk mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan," jelasnya.
Menurut Misha, keputusan yang telah dibuat itu turut menimbulkan persoalan ramai pihak termasuk kedua-dua ahli keluarga. Selain itu, terdapat juga khabar angin yang mengatakan hubungan mereka sedang bermasalah.
Bagaimanapun, dia lantas menafikan khabar angin tersebut dan menegaskan keputusan yang dibuat itu langsung tidak berkaitan dengan hubungan mereka, sebaliknya ia disebabkan jadual kerjaya masing-masing yang agak padat.
"Ketika ini Firos sedang sibuk menjalani kursus penerbangan mengendalikan pesawat Airbus 380 MAS, jadi dia memerlukan komitmen yang tinggi sekarang dan saya mahu dia memberi sepenuh tumpuan kepada kursusnya.
"Jadi, kalau ada yang mengatakan hubungan kami bermasalah sudah tentu ia tidak benar sama sekali. Segala kisah yang timbul itu saya abaikan dan sudah lali kerana sebelum ini pun sudah pernah timbul cerita kurang baik mengenai diri saya," ujarnya.
Berkenaan dengan majlis yang akan dilangsungkan pula, Misha menceritakan dia lebih gemar dengan majlis yang serba ringkas, namun bersedia mempertimbangkan sekiranya ada pihak yang sudi untuk memberi tajaan.
"Sehingga kini persiapan perkahwinan masih belum lagi dilakukan, malah tempahan dewan juga belum dibuat kerana masih tidak mendapat tarikh yang sesuai. Namun, saya akan tetap membuat persiapan sedikit demi sedikit supaya nanti tidak terlalu kelam-kabut sangat," jelasnya.
Album baharu
MISHA menafikan perkahwinannya dengan Firoz Ezzwan ditangguhkan kerana hubungan mereka bermasalah.


Biarpun ketika ini Misha dilihat lebih kerap tampil di kaca televisyen menerusi drama dan telefilem lakonannya, bidang nyanyian tetap diutamakan dan masih lagi banyak menerima tawaran membuat persembahan.
Jelas Misha, pada akhir tahun ini dia akan muncul dengan sebuah album baharu yang kini masih lagi dalam proses pembikinan setelah kali terakhir tampil dengan album berjudul Misha Omar pada tahun 2008.
"insya-Allah, kalau segalanya mengikut perancangan para peminat boleh mendapatkan album terbaharu saya pada tahun ini juga. Dalam album tersebut mengandungi tujuh buah lagu dan empat daripadanya sudah selesai dirakamkan.
"Sebenarnya saya bertuah kerana Datuk M. Nasir telah bertindak sebagai Penerbit Eksekutif dan berterima kasih kepada Sony Music Entertainment yang masih memberi kepercayaan kepada saya untuk menghasilkan album baharu," ujarnya.
Antara lagu-lagu yang sudah siap dirakam sepertiMaharani, Yang Indah, Kedatanganmu Tak Ku Sambut dan Angin Syurga yang ketika ini sudah disiarkan di stesen-stesen radio, manakala Datuk M. Nasir dan anaknya iaitu Ilham serta dua orang anggota kumpulan Spider, Tam dan Tony antara yang menyumbangkan lagu untuk albumnya itu.
"Memandangkan saya menghasilkan album terakhir kira-kira empat tahun lalu dan sering sibuk dengan kerjaya lakonan, jadi sudah tiba masanya untuk saya muncul dengan produk terbaharu sebagai hadiah istimewa buat peminat," jelasnya.
Tetap bekerja
Berbanding dengan kebanyakan artis lain yang akan berehat daripada sebarang aktiviti seni sepanjang bulan Ramadan, ternyata Misha tetap memberikan komitmen terhadap kerjayanya.
Ketika ini Misha sedang menjalani penggambaran telefilem berjudul Untung Atas Angin, sebuah program komedi yang akan disiarkan di saluran RTM pada Hari Raya Aidilfitri nanti.
Telefilem tersebut yang diarahkan oleh Malek Rahman turut membabitkan beberapa orang pelakon lain seperti Didie Alias, Enot, Roy Azman dan Erin Malek serta menjalani penggambaran selama enam hari.
"Beberapa hari selepas selesai menjalani penggambaran telefilem ini, saya akan terlibat pula dengan rakaman program raya Pesona Aidilfitri bersama Alyah dan Dayang Nurfaizah pada 30 Julai ini.
"Bagi saya segala tawaran yang diterima merupakan satu rezeki yang tidak harus ditolak, meskipun perlu bekerja pada bulan Ramadan. Lagipun bekerja pada hari biasa dan semasa berpuasa tidak banyak berbeza," jelasnya yang masih aktif dalam kerjaya seni semasa bulan Ramadan seperti tahun-tahun sebelumnya.
Mengenai persiapan menjelang sambutan Aidilfitri pula, Misha sekadar membuat persiapan yang sederhana dan lebih mengutamakan persiapan untuk anak angkatnya, Muhammad Adam Emir yang kini sudah berusia enam tahun.
- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard