PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Marsha Milan Londoh (Marsha) mengakui dia berasa bimbang untuk berduet dengan Datuk D.J Dave dalam lagu mendiang Whitney Houston, I Will Always Love You yang dirakamkan dalam versi baru bahasa Inggeris dan Hindi.
Bintang berusia 27 tahun itu berkata, lagu itu bakal disampaikan dalam konsert terakhir penyanyi veteran itu, Journey Through Song - Ingin Bersua D.J Dave pada 1 hingga 3 Jun depan di Istana Budaya.
“Saya bimbang untuk menyampaikan versi baru lagu I Will Always Love You itu bersama Datuk kerana liriknya terbahagi kepada bahasa Inggeris dan Hindi.
“Walaupun saya semakin terbiasa dengan lenggok dan sebutan Hindi yang betul selepas beberapa kali menyampaikan lagu itu bersama, terdetik juga kebimbangan jika berlaku kesilapan sebutan pada konsert itu nanti,” katanya .
Konsert berkenaan adalah bersempena ulang tahun ke-40 D.J Dave dalam bidang nyanyian.
D.J Dave pula berkata, pemilihan Marsha adalah bagi mewakili penyanyi era 2000 yang berbakat besar dan versatil.
Katanya, pengalaman mereka menyampaikan lagu itu bersama pada beberapa acara pentas sebelum ini memberikan keyakinan untuk dia menyunting Marsha sebagai teman duet.
“Saya pernah berduet dengan beberapa artis lain dalam lagu itu pada persembahan pentas sebelum ini. Pertama kali saya berduet dengan Marsha pula adalah pada acara Miss Earth 2011 di Sabah.
“Sejak itu, saya mula mempelawanya untuk merakamkan lagu itu pada awal tahun ini. Kebetulan pula, Whitney Houston meninggal dunia pada Februari lalu, secara tidak langsung ia menjadi lebih sentimental,” hurainya.
Selain Marsha, konsert mega terakhir penyanyi lagu Ingin Bersua itu turut menampilkan Uji Rashid, Dayang Nurfaizah dan komposer S. Atan selaku pengarah muzik.
Tiket-tiket bagi menyaksikan persembahan ini dijual dengan harga RM53, RM83, RM183, RM253, RM303 dan RM453.
Ia boleh didapati dengan melayari lawan web www.ticket2u.biz atau hubungi 03-41478600 atau 018-3268001.
Para peminat yang membeli tiket-tiket berharga RM183, RM253, RM303 dan RM453 turut berpeluang untuk memenangi tiket penerbangan tajaan AirAsia.
16 pembeli tiket bertuah akan diumumkan pada penghujung konsert bagi ketiga-ketiga malam itu.
Konsert itu mendapat sokongan penaja seperti Celcom, Sogo, Hotel Concorde, AirAsia dan Hard Rock Cafe.
- ---
No comments:
Post a Comment