KUALA LUMPUR: Penyanyi Nurul Wahab tidak melihat kelainan budaya antara beliau dengan bakal suami iaitu Eric Daniel Depp sebagai satu halangan untuk mereka mengecap bahagia.
Nurul berkata, dia menerima Eric seorang warganegara Perancis kerana ketulusan dan kriteria yang diinginkan daripada lelaki berusia 47 tahun itu.
"Saya tidak meletakkan bangsa atau warna kulit dalam memilih seorang lelaki sebagai calon suami tetapi memandang kepada ketulusan dan ciri-ciri yang saya cari.
"Eric juga seorang yang faham mengenai budaya, agama Islam dan sentiasa hormat budaya kita di Malaysia. Soal itu langsung tidak pernah menjadi masalah kepada saya," ujarnya pada Rabu.
Nurul ditemui selepas melancarkan album mini terbarunya di sini.
Tambah Nurul, dia tidak perlu risau mengenai soal budaya atau tanggungjawab bakal suaminya itu kerana sifat-sifat yang diinginkan daripada seorang lelaki ada pada Eric.
Nurul memberitahu, pengalaman Eric selama 10 tahun tinggal di Asia telah banyak mengajarnya mengenai budaya dan cara kehidupan masyarakat di sini.
"Aspek budaya atau tanggungjawab tidak menjadi isu kerana apa yang penting saya perlu memainkan peranan dalam soal kerohaniannya sebagai mualaf.
"Tanggungjawab saya sebenarnya yang lebih besar dalam memastikan bakal suami faham mengenai agama Islam dengan lebih baik," ujarnya.
Pasangan itu bakal bernikah pada 6 Jun depan di Duchess Palace dekat sini pada pukul 11 pagi.
Kira-kira 200 tetamu bakal dijemput pada hari bahagianya itu yang dibuat secara kecil-kecilan.
Dalam pada itu, Nurul memberitahu, Eric telah memeluk Islam sejak 13 Februari lalu dan tindakkannya itu telah meyakinkan bahawa lelaki tersebut sesuai untuknya.
Nurul juga tidak pernah menyangka akan bertemu dengan Eric dan seterusnya mengambil keputusan untuk berkahwin selepas lima tahun menjanda.
"Saya telah mengenalinya pada September 2010 dan kami mula serius pada Januari 2011. Sepanjang dua tahun pengenalan kami dia seorang lelaki yang baik dan memahami diri saya dan sentiasa senang bersama dengannya," katanya.
Sementara itu, ditanya kenapa dia sering mengelak apabila ditanya mengenai lelaki sebelum ini, Nurul berkata, dia tidak mahu menjadikan kehidupan peribadinya sebagai satu 'perniagaan' sepertimana dilakukan sebelum ini.
Dia juga banyak belajar daripada pengalaman lalu dan tidak lagi bersedia untuk berkongsi kisah peribadi melainkan perkara penting seperti pengumuman perkahwinan.
"Cukuplah dulu selagi ada kisah dipaparkan dalam akhbar malah hubungan peribadi itu menjadi perniagaan. Bukan mengelak tetapi saya sudah banyak belajar daripada pengalaman lalu," katanya.
Bercerita lanjut mengenai bakal suaminya itu, Nurul berkata Eric adalah seorang duda tetapi tidak mempunyai cahaya mata dan bekerja sebagai konsultan dan jurulatih kesihatan.
Katanya, pihak media hanya akan mengenali Eric pada hari pernikahan nanti kerana bakal suaminya itu merasakan dirinya bukanlah seorang artis.
"Dia bukan sombong tetapi malu nak jumpa orang apatah lagi saya ni seorang artis. Dia rasa tak sesuai untuk berada di sini," katanya.
Dalam perkembangan sama, Nurul memberitahu sebanyak enam individu telah sudi untuk menaja perkahwinannya nanti iaitu Rizman Ruzaini, Bon Zainal, Jakel, Zaha Weeding Planner, Deqsha dan Duchess Place.
Bagaimanapun dia tidak akan mengadakan sebarang majlis resepsi sebaliknya keluarga pihak lelaki akan meraikan perkahwinan mereka dalam sebuah majlis di Bali, Indonesia pada 14 Jun depan.
- ---
No comments:
Post a Comment