Penyebaran Gambar Syamsul Yusof dan Nurul Ain Perbuatan Khianat

Nurul Ain Nordin
PETALING JAYA: Aktres dan pengarah filem Oh Mak Kau (OMK), Nurul Ain Nordin (Ain) menganggap penyebaran gambarnya dengan Syamsul Yusof di Internet adalah perbuatan khianat pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengannya.
Ain, 24, yang juga penerbit filem itu berkata dakwaan mereka mempunyai hubungan istimewa juga adalah tidak benar sebaliknya dia telah mengenali Syamsul sejak menjalani latihan praktikal di Skop Production beberapa tahun lalu.
“Sudah berulang kali saya memberikan penjelasan mengenai hubungan kami namun saya sedar tidak mudah untuk meyakinkan orang untuk menerima apa yang saya katakan.
“Hakikatnya, kami hanya kawan. Hubungan kami adalah atas dasar profesional kerana dia banyak membantu membimbing saya di lokasi penggambaran filem OMK dan tidak lebih daripada itu,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Sebelum ini beberapa keping gambar tersebar di Internet memperlihatkan kemesraan mereka yang duduk berasingan daripada krew dan pelakon lain ketika di lokasi penggambaran filem OMK.
Kemesraan Ain dan Syamsul di lokasi penggambaran filem Oh Mak Kau yang didakwa menjalin hubungan secara rahsia.
Syamsul juga dikatakan sanggup menemani Ain di lokasi penggambaran selama beberapa jam walaupun dia tidak terlibat dengan penggambaran.
Ain yang mula dikenali menerusi filem Suatu Malam Kubur Berasap (2011) berkata, dia sempat berbincang dengan Syamsul mengenai dakwaan itu sejak gambar-gambar mereka tersebar di Internet pada minggu lalu.
“Saya ada bercakap dengan Syamsul mengenai perkara ini. Saya mohon agar isu ini tidak dibesar-besarkan kerana saya tidak mahu perkara remeh-temeh begini menimbulkan perasaan kurang selesa kepada Syamsul, bapanya Datuk Yusof dan mereka sekeluarga yang saya hormati.
“Apatah lagi dakwaan itu adalah tidak benar jadi saya bimbang ia akan melukakan hati kekasih Syamsul pula,” ujarnya yang mengakui belum mempunyai kekasih.
Ditanya adakah penyebaran gambar dan kontroversi hubungan cinta itu sengaja dicetuskan sebagai promosi kepada filem pertama arahannya itu, Ain berkata perkara itu tidak berasas kerana masih terlalu awal untuk pihaknya melakukan promosi filem berkenaan.
“Dakwaan itu bukan strategi kami untuk mempromosikan OMK. Bagi saya, masih terlalu awal untuk tujuan itu kerana filem ini baru tamat penggambaran dan kini dalam proses suntingan dalam talian.
“Kalau semuanya lancar, ia mungkin akan ditayangkan pada hujung tahun ini. Jadi, tak mungkinlah kami sengaja mengada-adakan kontroversi ini untuk promosi pula," jelasnya.
OMK yang diterbitkan syarikat produksi Ain bersama beberapa rakan kongsi iaitu Star Scope Production Sdn Bhd menjalani penggambaran selama 23 hari.
Filem yang mengisahkan mengenai seorang wanita gengster lakonan Wan Maimunah ini turut dibarisi antaranya oleh Didie Alias, Yank Kassim, Abon dan Sepahtu.

- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard