PETALING JAYA: Penyanyi remaja Stracie Angie Anam (Stacy) berkata pengalaman bergelar ibu kepada anak angkat Bella Valentina selama hampir tiga bulan memberikan kepuasan yang luar biasa kepadanya.
Penyanyi yang bakal menginjak usia 22 tahun pada Ogos depan itu berkata, kehadiran anak kecil itu membuatkan dia berasa berat hati untuk meninggalkannya dan keluar bekerja.
“Pada waktu ini, saya terlalu sibuk dengan pelbagai komitmen kerja terutamanya programMania sehingga membataskan waktu untuk bersama Bella. Mujurlah ibu banyak membantu menguruskan Bella sewaktu ketiadaan saya.
“Setiap kali keluar bekerja, pasti saya tidak sabar untuk pulang ke rumah kerana mahu menghabiskan waktu dengannya,” katanya di sini, petang Rabu.
Stacy mengambil bayi yang dilahirkan pada 15 Februari lalu itu daripada salah seorang ahli keluarganya yang kurang berkemampuan.
Melanjutkan perbualan, penyanyi lagu Kasanova itu berkata, perkara terhebat yang dialaminya apabila bayi itu mengenali dan memberikan reaksi tertentu kepadanya setiap kali dia pulang dari kerja.
“Saya cukup hairan bagaimana Bella sudah boleh mengenali saya setiap kali saya menatapnya. Dia akan memberikan reaksi tertentu apabila bersama saya berbanding dengan reaksinya kepada ibu atau keluarga yang lain.
“Malah, Bella seolah mengetahui saya kepenatan bekerja sepanjang hari dan tidak banyak ragam pada sebelah malam ketika kami tidur bersama,” akuinya yang tidak kekok menguruskan bayi itu kerana sudah terbiasa dikelilingi anak-anak saudara sejak dulu.
Beralih kepada topik kerjaya, Stacy mengakui pembabitan dalam program Mania selama lapan minggu banyak membantu publisiti diri dan perkembangan kariernya.
“Saya sangat penat dengan komitmen Mania tetapi saya berasa seronok dan dapat menimba banyak peluang baru dalam kerjaya.
“Walaupun penat saya amat bersyukur dengan rezeki yang diberikan Tuhan. Jadi saya tidak mahu banyak mengeluh,” ujarnya yang bakal tampil dengan lagu terbaru berjudul Pelangi Senja tidak lama lagi.
- ---
No comments:
Post a Comment