PETALING JAYA: Pelakon Nabila Huda Suhaimi mengakui dia berasa bahagia melayari kehidupan sebagai ibu tunggal sejak dia memfailkan perceraian hampir 10 bulan lalu.
Nabila, 28, yang juga anak perempuan kepada legenda rock Amy (Search) berkata, status itu tidak mengganggu atau menjejaskan emosinya kerana dia berasa selesa di samping anak perempuannya Keisha Lalila, dua tahun.
“Saya gembira dan bahagia dengan kehidupan sebagai ibu tunggal. Walaupun ada ketikanya, perasaan sedih itu datang tetapi saya dapat atasi kerana kesibukan kerja dan anak saya yang sentiasa bersama.
“Pada fasa ini, saya semakin sukar untuk berenggang dengan Keisha kerana mudah rindu padanya. Setakat ini, saya akan bawa dia bersama ke lokasi penggambaran walau di mana sekali pun,” katanya baru-baru ini.
Nabila memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya Zaidi Zailani, 30, pada Ogos tahun lalu selepas tiga tahun berkahwin ekoran tiada persefahaman.
Ditanya tidakkah dia merancang untuk mencari pengganti, Nabila berkata pada peringkat ini keutamaannya adalah pada kerjaya dan anak.
“Bukan saya trauma atau serik dengan kegagalan perkahwinan tetapi mencari pengganti bukanlah misi utama saya pada waktu ini.
“Saya tidak mudah untuk jatuh hati dan belum terfikir untuk mencari teman lelaki pun. Malah, saya tiada teman istimewa kerana jarang berpeluang untuk bersosial kerana setiap hari sibuk dengan penggambaran dan urusan anak,” jelasnya.
Sempat diusik mengenai gosip hubungannya dengan aktor baru Johan As’ari, Nabila memohon agar spekulasi tersebut dihentikan kerana dia khuatir ia boleh menjejaskan perkembangan karier aktor itu.
“Kami hanya kawan rapat dan saya percaya peminat juga sudah letih mendengar gosip sebegini. Saya berharap spekulasi ini dihentikan kerana tidak mahu ia menjejaskan perjalanan karier Johan yang baru bertapak.
“Mungkin gosip begini tidak begitu mengganggu saya yang sudah berada pada zon yang selesa tetapi kasihanlah pada dia yang baru bermula,” ujarnya.
Nabila yang baru menamatkan penggambaran drama bersiri Nikallaya di selatan Thailand baru-baru ini, bakal muncul dengan filem terbaru berjudul Jalan Kembali... Bohsia 2 pada 7 Jun depan.
- ---
No comments:
Post a Comment