Aiman Hakim Janji Tidak Lupa Diri - Pelakon Vanilla Coklat


Aiman bersama gandingannya dalam drama Vanila Coklat, Izara Aishah. Foto THE STAR Oleh GLENN GUAN. 
PETALING JAYA: Pelakon yang popular menerusi drama bersiri Vanila Coklat, Aiman Hakim menjelaskan populariti yang dikecapnya kini tidak akan merubah dirinya sehingga menjadi seorang yang memilih.
Aiman berkata, walaupun sudah mula dikenali, hakikatnya dia adalah seorang pelakon baru yang masih dalam proses pembelajaran dan perlu mencuba pelbagai watak sekiranya ditawarkan.
"Popular tidak menjamin kejayaan saya sebagai pelakon kerana sedar diri saya masih baru dan perlu lebih banyak pendedahan dalam bidang lakonan.
"Kejayaan drama ini juga tidak bererti saya akan mula memilih watak selepas ini hanya kerana telah dikenali," ujarnya.
Aiman ditemui selepas majlis tayangan episod terakhir Vanila Coklat bersama peminat di Restoran Rasta Taman Tun Dr Ismail di sini, Selasa.

Dalam pada itu, ditanya mengenai namanya antara carian paling popular di Google, Aiman berkata, dia tidak tahu mengenai perkara itu namun bersyukur kehadirannya dalam bidang seni mula disedari masyarakat.
Katanya, populariti yang dimiliki perlu digunakan sebaik mungkin selain perlu terus berusaha untuk memperbaiki diri supaya mendapat sokongan peminat.
"Insya-Allah kejayaan saya tidak akan membuatkan saya hanyut sebaliknya akan lebih berusaha keras dalam membina nama dalam bidang ini.
"Saya akan terus melakukan apa yang dirasakan betul dengan mendapat nasihat daripada orang terdekat," katanya.
Sementara itu, Aiman yang juga bekas peserta program realiti Mentor musim ke-5 bersama mentornya, penyanyi Rahim Maarof memberitahu walaupun sudah mencipta nama sebagai pelakon dia masih memasang hasrat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang nyanyian.
Kata Aiman, buat permulaan dia bakal muncul dengan single terbaru berjudul “Bicara Hati” ciptaan Adi dari kumpulan 6ixth Sense dalam masa terdekat.
"Nyanyian yang telah memperkenalkan nama saya dalam bidang ini jadi tidak semudah itu untuk terus saya lupakan cita-cita awal saya ingin melibatkan diri dalam bidang ini.
"Saya masih memasang impian untuk menghasilkan album sendiri pada masa hadapan tetapi buat permulaan saya bakal muncul dengan sebuah single baru.
"Bagaimanapun saya perlu menunggu lagu tersebut keluar kerana pihak produksi masih menunggu persetujuan daripada dua buah drama yang berminat untuk menggunakan Bicara Hati sebagai lagu tema untuk drama mereka,"ujarnya.
Bagaiamanpun kata Aiman, dia tidak mahu terburu-buru sebaliknya ingin menumpukan pada sesuatu perkara terlebih dahulu kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen.
"Sekarang saya banyak terikat dengan tawara berlakon dan kerana itu tidak mahu terburu-buru mengejar semua benda dalam satu masa," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard