Sifat Misteri Puteri Caroline Pikat Hati Ella

Ella (kiri) melihat keistimewaan kepada Puteri Caroline.
KUALA LUMPUR: Ratu rock negara Ella berkata salah satu faktor yang membuatkan dia memilih Puteri Caroline Mohd Kamel (Caroline) sebagai protege program Mentor musim keenam adalah kerana sifat misteri yang dimiliki gadis dari Kelantan itu.
Ella berkata selain faktor bakat, Caroline, 20, mempunyai ciri-ciri menarik yang memikat hatinya untuk dia mendekati dan menerokai gadis berkenaan.
"Dia (Caroline) seorang yang pendiam dan misteri. Bakat dan sifatnya itu memikat hati saya.
"Saya tidak mahu menghakimi dia. Saya mahu menerokai kebolehan dan potensi Caroline," katanya yang memilih Caroline daripada enam calon yang disenaraikan.

Penyanyi lagu Puisi Hamba itu berkata sebagai persediaan untuk program berkenaan, dia cuba menyuntik keyakinan pada karakter Caroline agar lebih berani dan menonjol.
"Saya mempunyai hasrat yang besar untuk lihat dia berjaya, jadi saya akan bimbing dia dengan pendekatan dan formula sendiri.
Para mentor dan protoge masing-masing.
"Kami menjadi semakin rapat dan lebih mengenali antara satu sama lain dan ini memudahkan proses pembelajaran," katanya.
Selain Ella dan Caroline, Mentor 6 turut membariskan Ogy dan protegenya Zatul serta Ramlah Ram bersama protege, Ana Syuhada Noor Asram, 21 (Ana Syuhada).
Faizal Tahir pula mempertaruhkan Anas Ridzuan, 23, (Anas), Ferhad dengan Salwani Sawi, 18, (Wanie) dan Adam dengan protegenya Abd Kadir Unding Lana, 23, (KJ).
Masih lagi diacarakan oleh Ally Iskandar Mohd Mardzi, konsert mingguan akan disiarkan secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam bermula 18 Mac ini pada setiap Ahad, pukul 9 hingga 10.30 malam di TV3.

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard