Berkat umrah di Mekah, Irma Bertemu Jodoh




AKTRES dan pengacara cantik ini pernah kecundang dalam percintaan termasuk dengan pelawak terkenal Nabil Ahmad.
Namun dia langsung tidak menyangka jodohnya akan tiba di depan Kaabah, Mekah ketika dia menunaikan umrah buat kali ketiga seorang diri baru-baru ini.
Akui pemilik nama penuh Irma Hasmie Ibrahim ini, dia sememangnya mendoakan yang terbaik buat dirinya ketika di depan Kaabah.
Ini kerana dia menganggap jodoh yang ditemui kota suci Mekah itu adalah yang terbaik.
Sebab itu dia bersetuju untuk mengikat tali pertunangan dengan seorang ahli perniagaan dalam bidang pengiklanan bernama Rezza Syah Azmeer Datuk Radzuan, 31, pada 24 Mac lalu selepas hanya sebulan lalu pertama kali bertegur sapa ketika di Mekah iaitu pada 14 Februari lepas.
Sebelum itu, Irma,30, terlebih dahulu dirisik oleh keluarga Rezza pada 12 Mac lalu.

Disapa bakal ibu mertua
Bercakap mengenai hubungannya dengan Rezza yang masih baru itu, Irma yang ditemui pada majlis pertunangannya di kediaman keluarganya di Desa Confields, Sungai Buloh, Selangor pada Sabtu lepas berkata, sejujurnya dia tidak pernah merancang untuk bertemu jodoh dalam waktu terdekat.
“Namun, saya akui ada berdoa di depan Kaabah agar diberikan segala yang terbaik untuk diri ini.
“Saya bersyukur sangat-sangat kerana bertemu jodoh di depan Kaabah ketika menunaikan umrah. Bagi saya, jodoh ini satu anugerah terbesar buat diri saya daripada Allah. Memang pertemuan kami dan hubungan kami berlangsung dalam waktu yang cukup singkat,” ungkapnya.
Tambah Irma: “Namun, apa yang membuatkan saya tertarik dan bersetuju untuk mengikat hubungan kami ke peringkat yang lebih jauh disebabkan jodoh ini ditemui di depan Kaabah.
“Kedua, saya sendiri cukup senang apabila bersama dirinya dan ketiga, hubungan kami direstui oleh kedua-dua pihak keluarga. Saya dapat merasakan restu itu, inilah sebabnya saya bersetuju untuk bertunang dan seterusnya melangkah ke gerbang perkahwinan,” ujarnya yang cukup anggun menggayakan busana rekaan pereka fesyen popular, Hatta Dolmat.
IRMA mempunyai tiga sebab kenapa hatinya terbuka untuk menerima lamaran Rezza Syah Azmeer.


Menceritakan kembali detik-detik pertemuannya dengan Rezza ketika di Mekah, semuanya bermula apabila dirinya disapa oleh ibu Reza, Datin Azizah Osman.
Irma kemudiannya terlebih dahulu berkenalan dengan bapa dan adik perempuan tunangnya itu sebelum dia akhirnya diperkenalkan kepada Rezza oleh ibu Rezza sendiri.
“Saya disapa oleh ibu Rezza, kemudian saya berkenalan dengan seluruh keluarganya yang turut menunaikan umrah waktu itu.
“Mereka kenal saya sebagai seorang pelakon, tetapi di sana semua orang sama sahaja dan orang terakhir dalam keluarga itu yang datang berkenalan dengan saya ialah Rezza. Memang pertemuan kami tidak dirancang,” bicara Irma.
Tidak sempat bercinta
Tiba di Malaysia, ibu Rezza kemudian menyampaikan hasrat untuk meminangnya, lantas diterima oleh Irma dan keluarganya dengan hati penuh terbuka.
“Pulang ke Malaysia, saya ada berjumpa dia beberapa kali, kemudian ibu Rezza ada cakap untuk masuk meminang, mereka datang merisik dan sekarang saya sudah bertunang.
“Memang tempohnya agak cepat tetapi saya percaya dengan jodoh yang sudah ditentukan Allah untuk saya ini,” ucapnya.
Tutur Irma lagi, disebabkan ‘hubungan pantas’ mereka itu, Irma belum sempat untuk mengenali hati budi atau melalui episod cinta sepertimana kebiasaan di kalangan pasangan kekasih yang lain.
“Ya, memang tidak sempat nak bercinta dengan Rezza tetapi saya sempat mengenalinya. Sebenarnya hubungan kami lebih kepada diatur keluarga.
“Sungguhpun begitu, kalau diatur keluarga pun tetapi andai saya tidak suka hubungan ini tidak boleh diteruskan juga (ketawa). Apa yang boleh saya katakan dia seorang lelaki yang terbaik buat saya,” tegas Irma sambil tersenyum manis bercerita tentang bakal suaminya itu.
Tarikh perkahwinan
Justeru, bagaimana hati Irma boleh terbuka untuk menerima Rezza menjadi bakal suaminya meskipun perkenalan mereka berlaku dalam waktu yang singkat.
IRMA bersama (dari kiri) bakal ibu mertuanya Datin Azizah Osman, ibunya Ropitah Abdul Hassan, bakal bapa mertuanya Datuk Dr. Mohd. Radzuan Ibrahim dan bapanya Ibrahim Othman pada majlis pertunangannya yang berlangsung penuh meriah itu.


Bahkan dalam majlis pertunangan itu, pengumuman dibuat secara rasmi menyatakan mereka mereka bakal bergelar suami isteri pada 1 Julai depan.
“Perasaan saya tidak ada rasa ragu-ragu lagi. Saya juga menjadi diri sendiri di depan Rezza dan keluarganya, begitu juga dengan dirinya dengan keluarga saya.
“Mereka boleh terima saya seadanya, mungkin sebab itu, saya menerima dirinya kerana kami tidak menyembunyikan apa-apa jua.
“Hubungan kami juga berjalan tanpa sebarang masalah dan saya berharap situasi ini akan kekal sampai bila-bila sehingga kami selamat berkahwin kelak” luah Irma yang masih sibuk dengan kerjaya lakonan dan bidang pengacaraan.
Pada majlis pertunangannya itu, Irma menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki termasuk sebentuk cincin berlian yang disarungkan oleh bakal ibu mertuanya itu sebagai tanda Irma kini sah menjadi tunangan Rezza.
Irma pula membalas dengan sembilan dulang hantaran untuk pihak lelaki.
Selepas majlis pertunangan tersebut, Irma bakal sibuk dengan persiapan untuk majlis pernikahan dan juga majlis resepsi perkahwinannya yang dijadualkan bakal berlangsung pada 1 Julai ini di Keramat Mall, Keramat, Selangor.
Sementara, majlis resepsi sebelah pihak lelaki pula bakal berlangsung pada 7 Julai depan.

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard