Teater 'Gerimis Mengundang' Bakal Dapat Sambutan Hebat


Ahmad Idham
KUALA LUMPUR: Pengarah teater muzikal Gerimis Mengundang Ahmad Idham Ahmad Nadzri sudah menaruh keyakinan pementasan teater itu akan mendapat sambutan luar biasa walaupun ia belum dipertontonkan kepada umum.
Ahmad Idham berkata, ia disebabkan faktor keyakinan penonton kepada karyanya selepas berjaya menghasilkan pementasan Impak Maksima yang diadakan di Istana Budaya (IB) sebelum ini.
“Saya sangat-sangat yakin teater muzikal terbaru ini akan mendapat sambutan daripada peminat selepas melihat bagaimana para pelakon menampilkan persembahan luar biasa semasa sesi latihan yang dijalankan selain trend penonton terhadap karya saya sebelum ini,” katanya kepada pemberita pada majlis doa selamat teater itu di Istana Budaya di sini, Selasa.
Turut hadir Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.
Ahmad Idham memberitahu kekuatan karya tersebut yang menelan belanja kira-kira RM1.2 juta itu juga terletak kepada konsep yang dibawa iaitu lebih moden, mempunyai aksi gerak tari dan menampilkan artis-artis remaja.

Para pelakon teater muzikal 'Gerimis Mengundang'.
Selain itu dia juga melakukan percubaan dengan membawa pelakon luar iaitu Shenthy Feliziana dari Singapura dan Mikha Tambayong dari Indonesia.
“Teater ini ada unsur-unsur kelakar yang harus ditonton. Malah lagu-lagu yang ditampilkan juga telah digubah menjadi menarik bersesuaian dengan konsep yang diketengahkan,” katanya.
Tambah beliau, helikopter yang akan digunakan dalam pementasan berkenaan juga telah siap direka bentuk dan tentunya akan menampilkan sebuah persembahan luar biasa apabila pengangkutan itu digunakan di dalam dewan.
Jelasnya, ia adalah satu kelainan yang dilakukan untuk memastikan pementasan tersebut benar-benar luar biasa selain menonjolkan watak Zamani (lakonan Kamal Adli) sebagai seorang juruterbang,” ujarnya.
Sementara itu Kamal Adli memberitahu dia menghadapi masalah untuk menari khususnya bagi lagu berirama perlahan.
Bagaimanapun masalah itu dapat diatasi dengan tunjuk ajar koreografer selain keupayaannya mempamerkan kekuatan vokal apabila diwajibkan menyanyi secara langsung.
“Saya bukan penyanyi tetapi saya mencuba terbaik untuk menyanyi pada persembahan itu nanti. Cuma saya ada sedikit masalah apabila nak menari. Tapi saya mampu melakukannya,” jelas Kamal.
Kamal Adli bersama gandingannya Mikha Tambayong.
Dia turut menambah berhadapan dengan tekanan kerana tidak mempunyai banyak masa untuk melakukan latihan tetapi percaya kepada komitmen semua pihak bagi memastikan ia berjaya.
“Ada adegan yang saya perlu menangis dan meraung iaitu pada babak akhir cerita ini. Alhamdulillah, semasa latihan saya boleh melakukannya dengan baik tanpa menggunakan ubat titis,” jelasnya sambil memberitahu mampu menurunkan berat badan sebanyak 10 kilogram berbanding 85 kilogram sebelum ini.
Teater muzikal Gerimis Mengundang ini berkisar mengenai kisah cinta Zamani, seorang juruterbang muda yang berhadapan dengan kemelut percintaan dua orang gadis yang meminatinya.
Ia akan dipentaskan di Istana Budaya dari 27 Mac hingga 8 April depan.
Tiket-tiket menyaksikannya masih dijual dengan harga RM35, RM55, RM75, RM95, RM125, RM185 dan RM305.

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard