PETALING JAYA: Pelakon Liyana Jasmay membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan Fathuddin Mazlan,28, yang juga seorang ahli perniagaan pada Januari tahun depan selepas menamatkan kursus jangka pendeknya di New York, Amerika Syarikat (AS).
Liyana, 24, berkata, dia akan berangkat ke negara itu pada Julai depan untuk mengikuti kursus di New York Film Academy dalam bidang pengarahan dan lakonan.
"Daripada awal perkenalan dengan Fathuddin saya telah melahirkan hasrat untuk mengikuti kursus tersebut kepadanya dan dia tidak membantah mengenai perkara itu kerana pemergian saya adalah untuk menimba ilmu.
"Kelas akan tamat pada awal Januari (2013) dan lepas itu akan terus kembali ke Malaysia untuk berkahwin," ujarnya.
Liyana ditemui semasa menghadiri majlis pelancaran drama bersiri 3 Janji di Sri Pentas di sini pada Selasa.
Tambah Liyana, pemergiannya selama enam bulan ke New York turut ditemani oleh ibunya iaitu Habsah Simpon, 53, selepas ayahnya, Jasmay Md Shah, 57 tidak membenarkan dia tinggal bersendirian di AS.
"Pada awalnya saya nak ikuti kursus berkenaan di Australia sahaja kerana lebih dekat tetapi setelah disarankan oleh rakan-rakan pergi ke New York saya bertukar fikiran.
"Tambahan pula peralatan sepanjang proses pembelajaran itu nanti lebih canggih dan boleh digunakan oleh para peserta selain nama-nama besar dalam bidang pengarahan dan lakonan turut dijemput untuk memberikan ceramah kepada kami nanti," katanya.
Liyana memberitahu, dia teruja untuk ke negara itu kerana ingin menimba pengalaman di negara orang dan mempelajari cara mereka menghasilkan filem atau drama supaya dapat diguna pakai apabila kembali ke tanah air.
"Ini semua saya lakukan demi syarikat produksi saya iaitu Mermaids Studios kerana ingin lebih bersungguh-sungguh dalam menghasilkan produk yang baik untuk penonton.
"Malah saya sudah buat beberapa persediaan sebelum berangkat dan Insya-Allah krew produksi saya akan turut ke sana untuk menjalani tiga buah telefilem bagi mendapat senario berbeza di sana," katanya.
Dalam pada itu, Liyana yang bakal bertunang pada 28 Mac ini di rumahnya di Kemensah, Kuala Lumpur memberitahu akan menyelesaikan semua penggambaran yang masih tertangguh selain menyiapkan persiapan perkahwinannya sebelum ke AS.
Ujar Liyana, dia bertuah kerana dua kakaknya iaitu Faradilla Jasmay, 30, dan Adriana Jasmay, 28, yang sudah berkahwin akan membantunya dalam merealisasikan impiannya sebagai raja sehari.
"Sebelum berangkat saya akan selesai mengenai tempahan dewan, katering, baju dan sebagainya. Selebihnya akan diuruskan oleh dua orang kakak saya yang sudah berpengalaman dalam menguruskan kerja kahwin.
"Sejurus lepas balik nanti saya akan terus berkahwin. Bagaimanapun tarikh sebenar masih belum diputuskan,” katanya.
Sementara itu, Liyana berkata, dia mengambil keputusan untuk bertunang bukan kerana akan berangkat ke luar negara tetapi tertarik dengan keikhlasan hati budi bakal tunangnya yang disifatkan sebagai periang dan baik hati.
Tambah Liyana, usaha Fathuddin untuk mengenali kedua ibu bapanya paling menyentuh hati kerana dia begitu rapat dengan mereka.
"Saya sangat rapat dengan kedua ibu bapa saya dan apabila melihat usahanya untuk mengenali mereka sudah cukup menambat hati saya sebagai seorang wanita," ujarnya.
Liyana memberitahu, pengalaman berkawan dengan lelaki sebelum ini telah membuatkan dirinya serik untuk bercinta sebaliknya memilih untuk berbuat demikian dengan ikatan perkahwinan.
"Saya tidak percayakan pada percintaan lagi kerana itu semua palsu. Jika seseorang itu benar-benar ikhlas mencintai saya dia boleh terus masuk meminang dan itu yang telah dilakukan oleh bakal tunang saya," ujarnya.
No comments:
Post a Comment