Elly Mazlein
Bunga-bunga cinta yang melingkari kehidupan pelakon dan penyanyi, Elly Mazlein nampaknya semakin berkembang. Setelah menjadi tunangan orang pada 29 Mei lalu, Elly mengakui tidak sabar menanti hari bahagia yang dijadualkan berlangsung Disember ini.

Jelas Elly, tiada kata yang dapat menggambarkan rasa terujanya untuk menanti saat bergelar isteri dengan pengarah drama dan filem, Azmi Mohd Hata yang berstatus duda anak dua.

“Setakat ini persiapan sudah 50 peratus dilakukan. Buat masa ini tarikh belum diputuskan. Kalau hendak diikutkan, majlis hari jadi saya jatuh pada 17 Disember, tapi ia hari bekerja.

“Kami akan pilih tarikh hari cuti dan semua sanak saudara juga boleh datang untuk sama-sama meraikan hari bahagia kami itu. Kalau boleh, kami ingin majlis dipermudahkan dengan satu hari saja di mana majlis akad nikah, waktu pagi dan persandingan pula sebelah petang.

“Alhamdulillah, melalui kehidupan sebagai tunangan orang tidaklah sukar. Setakat merajuk sikit-sikit adalah kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran drama Amukan Pocong di Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini.


Elly berkata, biarpun berstatus selebriti, namun dia tidak mengimpikan majlis perkahwinan besar-besaran. Sebaliknya diadakan dalam suasana meriah dan romantis.

“Saya memang merancang sesuatu yang istimewa pada hari bahagia kerana ia akan dikenang seumur hidup, tapi bukan bermaksud perlu diadakan secara besar-besaran. Buat masa ini ada tajaan yang kami dapat, namun ada yang saya pilih tanggung separuh kos tajaan.

“Saya mengimpikan majlis perkahwinan moden dalam taman yang penuh dengan bunga-bungaan dan warna lembut kerana terasa romantis. Mungkin lokasi nikah akan diadakan di masjid dan persandingan pula di Bukit Kiara.

“Barangan hantaran juga masih dalam proses. Memandangkan saya menggemari angka satu, bermungkinan hantaran saya berjumlah RM11,111.11,” katanya yang akan menggunakan khidmat Eila Faiz Shah dan Datin Lynda Rahim untuk busana akad nikah dan resepsi.

Ditanya mengenai penglibatannya dalam bidang seni selepas berkahwin, Elly berkata, dia tidak akan bersara selepas berkahwin. Malah, dia berasa bertuah kerana Azmi begitu memahami dirinya sangat mencintai bidang seni.

“Saya bertuah kerana Azmi tidak pernah halang saya berlakon selepas kami berkahwin. Azmi memang cukup memahami dan menyokong minat saya dalam bidang seni. Maklumlah, kami sama-sama ceburi bidang ini, jadi ia memudahkan kami untuk berkongsi minat,” katanya.


Kemalangan di set penggambaran

Dalam keterujaan bercerita mengenai persiapan perkahwinannya itu, wajah Elly turut menjadi perhatian rakan-rakan media yang hadir semasa pelancaran drama tersebut, gara-gara kesan luka di dahinya itu yang jelas kelihatan.

Elly berkata, dia mendapat luka itu semasa menjalani salah satu babak untuk drama terbarunya itu.

“Babak itu memerlukan saya berlari. Namun nasib saya tidak baik, ketika saya berlari, saya tergelincir dan kepala saya tersagat di atas kayu. Waktu itu tak banyak darah, tapi semua panik dan minta saya berehat dulu.

“Mula-mula luka itu kelihatan putih kerana kulit terkopek, tetapi lama kelamaan baru nampak luka. Tetapi saya sangat terharu kerana penerbit, Nor Aliah Lee sangat prihatin kerana dia akan membawa saya berjumpa pakar untuk cepatkan hilang parut ini,” katanya.

Dalam drama itu, Elly membawa watak Long Jamilah yang juga isteri Long Husin (lakonan Azhan Rani). Turut berlakon dalam drama itu, Ezany Nizariff, Iqram Dinzly, Roslan Salleh, Liyana Jasmay, Neelofa dan Latif Borgiba.
Dua single baru

Berkongsi perkembangan karier nyanyian, Elly yang yang bernaung selama setahun di bawah pengurusan Julfekar berkata, dia bakal muncul dengan dua single terbarunya berjudul Please Forgive Me dan Kita Saja Love You ciptaan Julfekar, sekali gus membuat comeback di persada muzik tanah air.

Lebih menarik single, Please Forgive Me dipilih sebagai lagu tema filem Awan Dania The Movie dan Kita Saja Love You pula lagu tema filem Aku, Kau Dan Dia.

“Walaupun sibuk dengan kerja lakonan, tak mungkin saya dapat lupakan bidang nyanyian. Saya pilih untuk bekerjasama dengan Julfekar kerana kami sudah kenal lama. Saya juga suka dengan melodi ciptaannya yang segar.

“Insya-Allah jika kedua-dua lagu ini mendapat respons yang baik, saya akan muncul pula dengan sebuah album dan setakat ini ia masih lagi dalam perbincangan,” katanya.