KUALA LUMPUR: Tunang kepada Liyana Jasmay iaitu Fathuddin Mazlan, tidak akan menyekat kerjaya lakonan pelakon wanita itu selepas mereka mendirikan rumah tangga pada 24 Januari tahun depan.
Fathuddin berkata, dia juga tidak kisah dengan apa sahaja pemilihan watak yang ingin dilakonkan Liyana asalkan ia tidak menjatuhkan maruah keluarga dan diri.
"Saya tak akan menyekat kerjaya Liyana kerana itu adalah kerjanya sejak dahulu lagi.
"Lagipun, dia tahu batasan-batasan yang perlu dijaga sebagai seorang isteri dan pada masa sama tak adalah sampai dia perlu bekerja dari satu ke satu filem yang lain tanpa berehat langsung," katanya selepas majlis pertunangan mereka di kediaman Liyana di Kemensah Height, di sini, malam Rabu.
Tambah Fathuddin, dia juga tidak tahu sama ada dirinya akan berasa cemburu atau tidak apabila bakal isterinya itu berlakon dengan lelaki lain memandangkan dia jarang menonton filem-filem Melayu.
Ditanya apakah filem lakonan Liyana yang digemarinya, ahli perniagaan itu berkata, dia suka melihat tunangnya itu berlakon dalam filem Papadom.
Lantas, ketika Fathuddin memberitahu filem lakonan Liyana yang diminatinya, Liyana terus berseloroh dengan berkata: "Hahaha! Dia tak tengok filem-filem Melayu pun. Tapi apabila bersama saya, semestinya dia wajib menonton filem-filem yang ada di Malaysia."
Sementara itu, Liyana yang akan melanjutkan pelajaran ke New York Film Academy (NYFA) pada Julai ini selama enam bulan sudah mempunyai perancangan rapi mengenai kerjayanya selepas bergelar isteri nanti.
"Saya ke NYFA kerana ingin mempelajari teknik-teknik perfileman di sana dan sebagai permulaan, saya mahu membikin filem pendek sebanyak yang mungkin pada tahun depan.
"Bagaimanapun, karier lakonan masih lagi diteruskan, cuma tak mahulah terlalu sibuk seperti saya sebelum kahwin," ujarnya.
No comments:
Post a Comment