Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Labels:

Azwan Ali Sudah Serik, Mahu Hentikan Semua Kontroversi

Azwan Ali mahu menghentikan semua kontroversi yang pernah dicetuskannya pada tahun ini. - Foto oleh SHAARI CHE MAT
PETALING JAYA: Pengacara dan personaliti televisyen, Azwan Ali menegaskan dia sudah serik dan tidak mahu lagi terbabit dengan sebarang perbalahan dan kontroversi seperti sebelum ini.
Azwan berkata, dia berharap kemunculan semulanya di persada hiburan tanah air selepas empat tahun setengah menyepi dapat dimanfaatkan untuk menghasilkan program televisyen dan kerja seni yang baik kepada masyarakat.
“Empat tahun setengah saya mendiamkan diri tetapi masih ramai peminat yang menantikan dan merindui kemunculan saya. Saya sedar ada segelintir pihak yang tidak suka tetapi saya tidak peduli mengenai perkara itu.
“Kalau boleh, pada tahun ini saya sudah tidak mahu lagi terlibat dalam kontroversi atau pergaduhan dengan mana-mana individu. Saya mohon kemaafan pada semua atas kesilapan saya dan mahu hentikan semua kontroversi yang pernah saya cetuskan sebelum ini,” katanya
Pengacara program Cit Cat Azwan Ali itu berkata demikian ketika ditemui pada acara jelajah program MasterChef Selebriti di pusat belah belah One Utama di sini, baru-baru ini.
Azwan berkata, dia berasa bersyukur dan gembira kerana kemunculannya semula dalam industri hiburan mula mendapat respons yang positif daripada pelbagai pihak termasuk stesen televisyen dan media.
“Saya bersyukur dengan reaksi positif sejak saya muncul semula dalam beberapa program televisyen pada tahun ini. Stesen televisyen dan media yang pernah bersikap dingin kepada saya sebelum ini mula memberikan peluang.
“Saya bakal terlibat dalam beberapa projek program televisyen swasta dalam waktu terdekat. Malah, saya juga mula mendapat liputan daripada media kebelakangan ini. Ia perkembangan yang baik,” katanya.
Ditanya mengenai kritikan penonton berhubung kontroversi yang dicetuskan dalam program MasterChef Selebriti yang kini ditayangkan di Astro Ria, Azwan berkata dia hanya menjadi dirinya sendiri sepanjang terlibat dalam program realiti masakan itu.
“Saya tidak perlu hipokrit atau menjadi orang lain hanya kerana terlibat dalam program realiti. Apa juga yang dilihat dalam program itu adalah warna sebenar saya dan bukan gimik yang diaturkan oleh Astro.
“Rasanya ramai sudah tahu perangai sebenar saya. Walaupun ramai yang mencemuh dan mengkritik, ada juga yang suka dan menonton kerana ingin melihat kerenah dan perangai telus saya dalam program itu,” katanya.
Selain Azwan, antara barisan selebriti yang turut serta adalah Raja Azmi, Juliza Adlizan, Datuk Fazley, Dr Faiz, Angah (Raja Lawak), Farouk Hussain dan Siti Sarah Raisuddin.
MasterChef Selebriti kini disiarkan pada setiap Sabtu hingga Selasa pukul 9 malam di Astro Ria (saluran 104).

- ---

No comments:

Post a Comment

 
Gosip Artis Malaysia © 2012 | Designed by Canvas Art, in collaboration with Business Listings , Radio stations and Corporate Office Headquarters