Keputusan Kes Dadah Saiful Apek Diketahui 25 Jun Ini

Saiful Apek
PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini, Khamis menetapkan 25 Jun ini untuk keputusan kes pelakon komedi Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek, dan tiga rakannya berhubung tuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan mereka.
Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad dan peguam Mohd Fadli Hashim yang mewakili kesemua tertuduh.
Pada 1 Nov tahun lepas, Saiful Apek, 42, Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28, Shaiful Baharom, 24, dan Noremy Mohamad, 28, mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.
Dalam hujahnya, Ahmad Ishrakh berkata berdasarkan keseluruhan keterangan saksi-saksi, pihaknya berjaya membuktikan bahawa kesemua tertuduh telah menggunakan dadah berbahaya kerana mereka disahkan positif kanabis menerusi hasil ujian pengesahan dadah yang dibuat terhadap sampel air kencing masing-masing.
Beliau berkata biarpun terdapat kesilapan penandaan tarikh pemungutan sampel pada label botol Saiful Apek dan Noremy, penjelasan sewajarnya telah diberi saksi pendakwaan kedua Sarjan M. Sanggar yang mengakui silap menulis tarikh pada botol berkenaan iaitu 12.9.2010 berbanding tarikh sebenar 12.6.10, yang mana kesilapan itu disedari saksi tersebut ketika memberi keterangan di mahkamah.
"Namun, kesilapan ini tidak langsung menjejaskan identiti ekshibit kerana masih terdapat nama dan nombor kad pengenalan kedua-dua tertuduh pada label tersebut.
"Selain itu, keterangan saksi kelapan pendakwaan Inspektor Syed Mohd Rahayat Syed Mohd Ramli menguatkan lagi fakta bahawa kesilapan itu tidak disengajakan kerana mana-mana tertuduh dalam kes ini tidak pernah diambil urin atau ditahan pada 12.9.2010," kata Ahmad Ishrakh.
Beliau berkata pihaknya juga yakin identiti sampel air kencing keempat-empat tertuduh tidak terjejas kerana terdapat ciri-ciri unik dalam turutan nombor siri pada kesemua sampel tersebut.
Sementara itu, Mohd Fadli dalam hujahnya merujuk kepada percanggahan tarikh pada botol air kencing dua anak guamnya iaitu Saiful Apek dan Noremy.
Selain itu, beliau berkata tempoh penghantaran sampel air kencing kesemua anak guamnya ke Jabatan Patologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk pengesahan juga mengambil masa lama.
"Tarikh ujian air kencing diambil daripada kesemua anak guam saya ialah pada 12 Jun 2010 namun pada 18 Jun 2010 baru pegawai penyiasat menghantar sampel kesemua mereka ke Jabatan Patologi untuk tindakan lanjut, tempoh itu adalah terlalu lama," katanya.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, di IPD Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada 11 malam, 12 Jun 2010 dan didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.-BERNAMA

- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard