Linda Onn Nafi Letak Harga Tinggi

Linda Onn rindu untuk kembali sebagai pengacara televisyen.
KUALA LUMPUR: penyampai radio Suria FM, Linda Onn menolak dakwaan mengenakan bayaran tinggi sehingga menyebabkan segala tawaran untuknya bergelar pengacara televisyen tidak diberikan.
Linda berkata, dia tidak pernah meletakkan harga melampaui batas kepada mana-mana pihak yang mahukan khidmatnya malah sentiasa terbuka untuk berunding jika melibatkan soal bayaran.
"Soal bayaran tidak pernah menjadi isu kepada saya kerana perkara itu boleh dibawa berbincang terlebih dahulu dan rasanya saya tidak pernah meletakkan caj yang melampau untuk mana-mana pihak mendapatkan khidmat saya.
"Siapa yang pernah bekerja dengan saya, mereka tahulah mengenai perkara ini," ujarnya ketika ditemui selepas rakaman program Fenomena Raya di Angkasapuri di sini pada Selasa.
Tambah Linda, sepanjang 15 tahun berada dalam industri hiburan tempatan, kadar bayaran dirinya tidak pernah berubah dan terkilan jika isu itu menjadi punca dia tidak lagi menjadi pilihan mana-mana pihak yang memerlukan khidmatnya.
Dalam pada itu, Linda turut menolak tanggapan kesibukan dirinya sebagai penyampai radio dan perniagaan melibatkan restoran yang dimilikinya menjadi penyumbang kepada situasi tersebut.
Menurut Linda, sebagai seorang yang telah lama berada di dalam industri hiburan, pengurusan masa tidak pernah menjadi masalah buatnya.
"Saya tidaklah sesibuk mana kerana kehidupan saya sekarang lebih kepada kerja di studio selain menguruskan perniagaan. Insya-Allah isu pengurusan masa ini tidak pernah menjadi masalah kepada saya," katanya.
Bagaimanapun Linda mengakui dia agak lama tidak muncul sebagai pengacara televisyen dan sudah tidak lagi menerima tawaran seperti mana sebelum ini.
Tidak menafikan agak rindu untuk kembali mengacarakan program televisyen namun menganggap rezeki masih belum berpihak kepadanya buat masa ini.
"Minat saya memang kepada penyampaian radio dan pengacaraan program televisyen dan apabila kurang mendapat tawaran sudah tentu saya berasa rindu. Apa nak buat... belum rezeki saya.
"Kalau ada tawaran saya teringin nak buat program berbentuk bual bicara seperti Ellen DeGeneres atau pun Oprah Winfrey Show," katanya.
Sementara itu, Linda memberitahu, lebihan masa pada yang ada pada dirinya ketika ini membolehkan dia memberi tumpuan kepada keluarga selain melakukan perkara yang diminatinya seperti menunggang motosikal berkuasa besar serta bersukan.
"Sekarang ini masa lapang saya banyak dihabiskan dengan bermain badminton dan menunggang motosikal selain dapat menumpukan perkara-perkara lain yang mungkin sebelum ini tidak pernah menjadi perhatian saya,” katanya.

- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard