Wakil Seniman Dilarang Bertemu Aziz Satar

Aziz Satar
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi keliru apabila ahli keluarga pelakon veteran, Datuk Aziz Satar tidak membenarkan pihaknya serta wakil media untuk melawat pelakon itu selepas dimasukkan ke Hospital Ampang pada Sabtu lalu kerana serangan sakit jantung.
Zed berkata, pihaknya sebelum ini menerusi Biro Veteran persatuan itu telah memaklumkan kedatangan mereka dan mendapat persetujuan daripada ahli keluarga Aziz.
"Saya tidak pasti mengapa keadaan jadi begini kerana kehadiran Seniman dengan niat yang baik iaitu untuk melawat dan bertanya mengenai keadaan Pak Aziz selain menyerahkan sumbangan bagi membantu meringankan bebannya.
"Tak mengapalah kerana apa yang lebih penting kami telah menjalankan tanggungjawab kami demi menjaga kebajikan pelakon-pelakon veteran di negara ini," ujarnya ketika ditemui di perkarangan Hospital Ampang di sini, pada Selasa.
Pada pertemuan yang berlangsung pukul 12 tengah hari itu, keadaan menjadi kecoh apabila beberapa ahli keluarga Aziz atau nama sebenarnya Abdul Azez Satta tidak membenarkan wakil Seniman untuk melawat pelakon filem Bujang Lapok itu di wad.
Ahli keluarganya juga enggan ditemu bual oleh pihak media bagi mengetahui perkembangan terkini Aziz.
Zed dan wakil Biro Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, iaitu Jamawi Jaafar sempat menghulurkan wang kepada keluarga Aziz sebelum meninggalkan perkarangan hospital.
Che Norhayati Che Omar (kiri) menerima sumbangan daripada Zed Zaidi (dua dari kiri) dan Jamawi Jaafar. Gambar BERNAMA.
Selain wakil Seniman, turut kelihatan adalah Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Fredie Fernandez dan beberapa orang artis yang hadir pada lawatan itu.
Dalam pada itu, Zed menolak dakwaan keengganan ahli keluarga bertemu dengan wakil Seniman ekoran perbalahan di antaranya dengan ahli-ahli Seniman veteran yang tidak berpuas hati dengannya sebelum ini.
"Kedatangan kami adalah atas dasar tanggungjawab terhadap ahli-ahli Seniman. Mereka suka atau tidak itu, terpulanglah kepada mereka," katanya.
Sementara itu, Zed turut melawat pelakon Osman Kering,58, di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini bagi menyampaikan sumbangan wang tunai kepada isterinya iaitu Che Norhayati Che Omar, 48.
Norhayati yang terharu dengan kunjungan itu memberitahu menghargai usaha Seniman yang dilihat begitu bersungguh-sungguh membantu golongan artis veteran seperti suaminya.
Mengenai perkembangan terkini Osman, Norhayati memberitahu suaminya masih tidak sedarkan diri selain tekanan darah dan nadinya yang tidak stabil.
Osman atau nama sebenarnya Osman Kassim dimasukkan ke HUKM pada 11 Jun lalu.

- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard