Osman Kering mimpi jumpa 3 arwah rakan

Mimpi tiga arwah rakan
Isteri Osman Kering, Che Norhayati menerima sumbangan daripada Seniman dan Exco Pemuda, semalam.
 
DIMASUKKAN ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM ) sejak 11 Jun lalu, keadaan pelawak terkenal, Osman Kering, kini semakin kritikal.

Sehingga kini, Osman Kering atau nama sebenarnya, Osman Kassim, 58, masih koma dan berada dalam pengawasan doktor.

Ketika sesi lawatan bersama Presiden Seniman, Zed Zaidi, petang semalam, isteri Osman, Che Norhayati Che Omar, 48, memberitahu bahawa kondisi suaminya semakin tidak menentu.

“Doktor menasihati saya memberitahu anak dan keluarga sekiranya mahu jumpa dengannya.

“Sebulan sebelum dia koma, dia pernah beritahu saya bahawa dia bermimpi tiga arwah rakan rapatnya, M Rajoli, Zami Ismail dan Pak Ya (pemain wayang kulit Kelantan).

“Ketika itu, saya fikir dia bergurau kerana dia memang suka bergurau dengan saya,” katanya yang memiliki tiga cahaya mata, hasil perkongsian hidup bersama Osman.

Sebelum ini, Osman mengidap penyakit batuk batuk kering dan batuk berdarah sehingga tidak sedarkan diri, 16 hari lalu. Doktor mengesahkan paru-parunya bocor dan ia merebak ke buah pinggang serta jantung.

“Pada 11 Jun lalu, dia batuk berdarah dan berlarutan sehingga petang. Sebelum koma, dia ada beritahu perutnya rasa panas.

"Selepas itu, dia terus tidak sedarkan diri dan nafasnya terhenti seketika.

“Dengan bantuan doktor, dia kembali bernafas, tetapi tidak sedarkan diri sehingga sekarang,” kata Norhayati yang berterima kasih kepada Zed setelah mengotakan janji memberi bantuan.

Selain Seniman, Osman turut menerima sumbangan daripada, Exco Pemuda Umno Malaysia, Biro Kebudayaan dan Kesenian, Jamawi Jaafar.

Sebelum koma, Osman yang pernah membintangi filem Kantoi, Antoo Fighter, Senario The Movie dan Man Laksa, baru selesai menjayakan penggambaran filem Oh Mak Kau (OMK ).

- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard