Perompak Ikat, Ugut Bunuh Andy (Estranged)

Andy(kiri) bersama ahli kumpulan Estranged.
PETALING JAYA: Pemain dram kumpulan Estranged iaitu Andy, 28, berhadapan dengan maut apabila diikat oleh empat orang perompak yang memecah masuk rumah didiaminya bersama keluarga di Kota Damansara dekat sini pada Ahad lalu.
Andy atau nama sebenarnya Azwin Andy Malik berkata, perompak-perompak yang menutup wajah dengan topeng itu telah mengugut untuk membunuh jika dia atau ahli keluarga lain cuba untuk melawan.
"Mereka muncul dengan membawa wayar, batang besi dan kayu. Malang sekali abang saya (Azlan Rudy) dipukul teruk sehingga meninggalkan kesan lebam pada badannya ketika cuba melawan.
"Saya beritahu mereka untuk ambil apa sahaja barang yang diinginkan dan jangan mencederakan kami sekeluarga," katanya.
Kejadian rompakan tersebut berlaku pada Ahad lalu, pukul 3.45 pagi sewaktu Andy baru sahaja pulang ke rumah. Menyedari pintu utama rumahnya tidak ditutup, dia terus ke tingkat atas.
"Pada mulanya, saya sangka nenek saya datang ke rumah dan berborak bersama ahli keluarga yang lain apabila mendengar bunyi orang sedang bercakap.
"Ketika mahu naik ke tangga, terdapat dua lelaki memakai baju hitam turun dan masa itu saya tidak dapat berbuat apa-apa.
"Habis semua barang-barang berharga diambil. Mereka juga bertanya sama ada kami menyimpan peti besi atau tidak? Mujurlah perompak tersebut memenuhi permintaan saya supaya memulangkan kad pengenalan dan kad kredit," ujarnya.
Antara barang-barang yang dirompak ialah sebuah komputer riba, iPad, sejumlah wang tunai, barangan kemas serta beberapa barang lain.
Sejurus selepas kejadian tersebut, mereka sekeluarga membuat laporan polis.
Estranged popular dengan lagu Aurora.

- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard