Detik Cemas Fadlan (VIP) Dikejar Dua Samseng

Fadlan berasa cemas apabila dua lelaki tidak dikenali telah mengekorinya semasa dalam perjalanan ke lokasi penggambaran di Klang, Selangor pada Isnin lalu.
PETALING JAYA: Anggota kumpulan VIP, Fadlan Hazim, 20, berhadapan dengan detik cemas apabila kereta yang dipandunya dihimpit sewaktu dikejar oleh dua lelaki yang dipercayai samseng dalam kejadian di lebuh raya Duta-Ulu Klang (DUKE) pada petang Isnin lalu.
Fadlan berkata, kejadian itu berlaku ketika dia sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Melawati, dekat sini ke lokasi penggambaran drama 6 Progresif di Klang.
"Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.45 petang ketika saya sedang memandu di lorong tengah lebuh raya itu dan tiba-tiba sebuah kereta jenis Proton Satria berwarna merah menghimpit kereta saya yang datang dari arah kiri.
"Dua lelaki yang berada di dalam kenderaan tersebut meminta saya berhenti sambil menunjukkan sepucuk surat yang saya yakin sebagai taktik untuk mengelirukan saya," ujarnya ketika dihubungi pada Selasa.
Jelas Fadlan lagi, dia yang berasa tidak sedap hati dengan motif dua lelaki tersebut memecut laju kenderaannya dan terus dikejar samseng berkenaan yang mahu membuat sesuatu agar dia terbabas.
"Ia seperti di dalam sebuah filem dan saya tidak faham mengapa mereka mengejar saya? Kalau nak kata mereka penarik kereta, saya membayar ansuran kenderaan saya tiap-tiap bulan dan kalau nak kata pemungut hutang saya tidak pernah meminjam daripada Ah Long," jelasnya.
Fadlan yang memandu kereta Suzuki Aerio berkata, dia turut bimbang sekiranya penjenayah berkenaan membawa pistol dan menembaknya sehingga membuatkan dia memberi isyarat untuk mendapatkan perhatian daripada pemandu lain tetapi tidak diendahkan.
Pemandangan lebuh raya DUKE dari udara.
"Saya risau jika mereka ada membawa pistol dan cuba menembak saya sebab itu saya cuba memecut laju supaya mereka tidak dapat menghimpit saya," jelasnya.
Fadlan berkata, nasibnya baik apabila dia berjaya menyelamatkan diri dengan berhenti di bahu jalan lebuh raya terbabit ketika hampir tiba di plaza tol untuk meminta bantuan pemilik sebuah kenderaan yang kebetulan rosak di laluan berkenaan.
Katanya, ketika memberhentikan kenderaannya itu, dia telah mengadu kepada individu tersebut yang turut membantu memberi perlindungan kepadanya kerana bimbang perkara yang tidak dingini berlaku.
“Pada waktu itu saya nampak penjenayah tersebut telah menjauhkan diri daripada saya lalu membayar tol sebelum menghilangkan diri.
"Walaupun mereka tidak mengejar saya tetapi saya menunggu di tepi jalan lebih kurang 30 minit bagi memastikan mereka benar-benar meninggalkan kawasan itu sebelum saya meneruskan perjalanan ke lokasi penggambaran," katanya.
Sementara itu, Fadlan memberitahu dia belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu namun ada meminta bantuan seorang pelakon yang mempunyai kenalan dengan pihak berkuasa untuk mengenal pasti kereta yang mengekorinya itu.
"Saya cemas ketika itu dan tidak ingat nombor kenderaan mereka. Bagaimanapun atas bantuan daripada seorang pelakon senior ini, kereta berkenaan telah dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di lebuh raya itu," katanya.
Fadlan berkata kejadian berkenaan menyebabkan dia trauma dan bimbang jika diekori lagi selepas ini.
Sehubungan itu dia meminta orang ramai agar tidak memberhentikan kenderaan masing-masing apabila berlaku situasi sedemikian.
- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard