PETALING JAYA: Aktor kacak Tony Eusoff berkata pembabitannya dalam pelbagai pementasan teater muzikal sepanjang tahun ini disebabkan tidak menerima tawaran lakonan untuk televisyen (TV) dan filem.
Tony atau nama sebenarnya Anthony Joseph Hermas Rajiman, 35, berkata, dia menerima tawaran berlakon dalam pelbagai teater muzikal di dalam dan luar negara bagi mengisi masa terluang kerana hal tersebut.
Kata Tony, pembabitan dalam teater-teater bebas dan kecil itu dapat mengurangkan kebimbangannya memikirkan nasib kerjaya yang semakin tidak menentu.
"Bukannya saya tidak mahu berlakon TV atau filem tetapi memang tiada tawaran yang datang. Takkan saya hendak tunggu sahaja tawaran tanpa melakukan apa-apa langsung?
"Sebab itu saya cari alternatif kepada teater-teater muzikal bebas dan kecil dalam dan luar negara. Sekurang-kurangnya dapat juga saya melakukan sesuatu," katanya .
Tony berkata, ketandusan tawaran lakonan itu mungkin berpunca daripada kesilapannya sendiri yang tidak peka menjaga hubungan dengan penggiat-penggiat industri atau sikap pilih kasih stesen TV.
"Mungkin ketiadaan tawaran lakonan ini berpunca daripada salah saya yang kurang menonjol, tidak menjaga hubungan dengan penggiat-penggiat seni lain atau memang sikap sesetengah stesen TV yang pilih kasih terhadap pelakon-pelakon tanah air.
"Malangnya, saya bukan pelakon kegemaran mereka maka tiadalah tawaran yang datang. Namun, saya tidak berkecil hati dan mahu berfikiran positif dalam hal ini," katanya yang rindu untuk kembali berlakon.
Dia bagaimanapun bertuah kerana mempunyai kebolehan untuk berlakon, menyanyi dan menari yang sekali gus memudahkan laluannya untuk membintangi beberapa teater muzikal pada tahun ini.
"Saya bukan suka-suka buat teater muzikal tetapi itu sahaja peluang kerja dan rezeki yang ada. Memanglah kalau dikira bayarannya kecil berbanding TV dan filem tetapi saya bersyukur kerana ada juga pendapatan.
"Peluang membintangi teater ini pun saya peroleh kerana kebetulan saya boleh berlakon, menyanyi dan menari yang merupakan perkara asas bagi sesebuah muzikal.
"Selain mengukuhkan kemahiran lakonan, pementasan muzikal di luar seperti Singapura dapat meluaskan jenama saya di kalangan peminat di sana," katanya.
Pada Jun hingga Ogos lalu, Tony terlibat dalam pementasan berjudul La Cage Aux Follesyang diinspirasikan daripada filem Hollywood, Bird's Cage di Singapura.
Terbaru, aktor yang berasal dari Sarawak ini bakal membintangi muzikal bahasa Inggeris berjudul Romantic Fools pada 24 Oktober hingga 4 November depan di Black Box, Publika, Solaris Dutamas dekat sini.
Pementasan seterusnya pula di Stage 1, PenangPac, Straits Quay Mall, Pulau Pinang pada 9 hingga 11 November depan.
-
---
No comments:
Post a Comment