Ramli Ibrahim rakyat Malaysia pertama terima Anugerah Akademi Sangeet Natak


NEW DELHI - Ramli Ibrahim, ikon kebudayaan dan guru tarian klasik India lagenda Malaysia, hari ini menerima Anugerah Akademi Sangeet Natak 2011 dan sekali gus merupakan rakyat Malaysia pertama menerima anugerah berprestij itu.
   
Anugerah berkenaan merupakan penghormatan tertinggi yang diberi kepada artis persembahan, guru serta sarjana seni persembahan dan menjadi idaman para seniman.
   
Ramli, 59, menerima anugerah itu daripada Presiden India Pranab Mukherjee pada majlis khas di Presidential House.
   
Tiga puluh lima artis lain daripada pelbagai bidang turut menerima anugerah tersebut.
   
Ramli diberi anugerah itu sebagai mengiktiraf sumbangannya terhadap Odissi, yang dipercayai tarian tertua India berdasarkan bukti arkeologi, yang masih diamalkan hingga kini.
   
Berasal dari Orissa, sebuah negeri di timur India, Odissi adalah satu daripada lapan tarian klasik India.
   
"Anugerah Akademi Sangeet Natak adalah sesuatu yang amat saya hargai.
   
"Sebagai rakyat Malaysia pertama yang menerima anugerah berprestij ini, saya amat menghargainya," kata penari yang telah mengadakan persembahan di peringkat antarabangsa selama lebih tiga dekad ini selepas menerima anugerah itu.

"Banyak ranjau dan duri yang perlu ditempuhi untuk berjaya dalam tarian klasik India, terutama Odissi kerana dengan penduduk berjumlah lebih satu bilion, terdapat ramai orang yang berbakat besar di India," katanya dalam temu bual dengan Bernama.
    
Ramli memainkan peranan penting dalam mengubah senario tarian di Malaysia dengan melakar laluan baharu secara berseorangan untuk menjadikan Odissi tarian yang diterima ramai.
    
Penari yang mahir dalam tarian balet, moden dan klasik India ini adalah pengarah seni Sutra Dance Theatre dan telah mencipta beberapa gerakan hebat serta menggilap ramai penari berbakat di Malaysia.
    
Ditanya adakah memang menjadi impiannya untuk memenangi anugerah itu, Ramli berkata" Tidak sama sekali. Ia amat mengejutkan saya. Saya tak pernah berbuat sesuatu kerana mengharapkan hasil seperti ini".

Setiap pemenang anugerah tersebut menerima Rs1 lakh (RM5,894), angavastram (skaf panjang daripada kain kapas yang dipakai di bahu oleh lelaki) dan tamrapatra (plat tembaga berukir).
    
Akademi Sangeet Natak Akademi, yang ditubuhkan kerajaan India pada 31 Mei, 1952, merupakan akademi nasional bagi bidang muzik, tarian dan drama.
    
Ia merupakan badan tertinggi di India yang bertanggungjawab memulihara dan mempromosi tradisi seni persembahan negara ini.
    
Antara kegiatan utama akademi ini ialah memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada artis yang meletakkan seni persembahan pada taraf tinggi serta menempatkan kembali seni dan seniman di tempat sewajarnya. - Bernama- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard