Gosip Cinta Maya Karin


"SAYA masih lagi solo, tetapi saya ramai kawan, banyak dapat kerja, banyak tempat melancong tetapi masih belum ada teman lelaki." Itu penegasan yang diberikan pemilik seraut wajah jelita dikenali dengan nama Maya Karin ini.
Berkongsi kisah peribadinya, kata Maya, selepas bercerai dengan bekas suaminya, Steven David Shorthose pada pada tahun 2010, dirinya masih belum menemui cinta baharu walaupun dia telah digosipkan dengan beberapa lelaki.
Ia termasuklah gosip terbaharu dengan aktor sasa yang pernah bergandingan dengannya dalam filem Cun dan pementasan teater Natrah, Remy Ishak.
Namun, Maya tidak ketinggalan dihambat gosip cinta lain pula apabila baru-baru ini dia bergambar di garaj pasukan Lotus, Formula Satu di Singapura.
Bukan calang-calang orang boleh memasuki kawasan itu yang sebenarnya tidak boleh dimasuki biarpun dengan membeli tiket.
Spekulasi timbul mengatakan dia dibawa oleh 'pihak tertentu' untuk berada di situ, namun Maya menepis gosip berkenaan dengan memberitahu, orang kuat Lotus itu hanya kenalannya sahaja.
"Saya tahu memang tempat itu (garaj Lotus) tidak boleh masuk dengan membeli tiket tetapi saya ada kenalan yang juga pemilik Lotus itu yang bawa saya ke situ.
"Kami hanya kenalan tetapi tidak bercinta. Apa yang pasti, saya ramai kawan," ujarnya yang mengakui dia gemar meluangkan masa dengan mendaki gunung termasuk di Switzerland.
Maya menjelaskan, disebabkan dirinya kini solo, dia tidak hanya akan berada di Kuala Lumpur dan menunggu jodoh.
Sebaliknya, dia akan melancong ke serata dunia untuk membuat perkara-perkara yang digemarinya.
Dia juga tidak menolak kemungkinan akan bertemu sesiapa sahaja jejaka yang mungkin jodohnya ketika melancong itu.
"Dalam masa dua tiga tahun ini kalau saya jumpa sesiapa semasa melancong itu mana tahu.
"Saya tidak letak sasaran umur berapa untuk berkahwin lagi biarlah ia berlaku secara semulajadi," jelasnya yang kini berada di Nepal selama 10 hari sejak Khamis lalu bersama bapanya untuk mendaki gunung di Katmandu.

MAYA merakam foto kenangan di garaj pasukan Lotus, Formula Satu di Singapura baru-baru ini.


Selektif
Menyentuh mengenai karier lakonannya, nama Maya sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan watak Izzah, lakonannya menerusi filem pecah panggung, Ombak Rindu.
Ia nyata masih meraih bualan hangat dan kadangkala menjadi parodi kepada bahan lawak jenaka dalam beberapa program hiburan disebabkan impak kuatnya kepada masyarakat.
Selepas filem itu, Maya tidak lagi muncul dengan filem baharu selain filem adaptasi novel Ahadiat Akashah, Lagenda Budak Setan 2 - Katerina yang bakal menjengah pawagam seluruh negara menjelang 29 November ini.
Dia yang merupakan teraju utama filem itu dengan memegang watak Katerina yang sebelum ini dilakonkan oleh aktres Nur Fazura dalam filem Lagenda Budak Setan 1, menyatakan dirinya kini agak selektif dalam memilih watak yang ditawarkan.
Baginya, 2012 merupakan tahun yang paling banyak dia menolak tawaran berlakon filem dan dia tidak kesal berbuat demikian kerana mahukan satu watak yang memberi kesan dan impak kepada dirinya dan penonton.
Pemilik nama sebenar, Maya Karin Roelcke, 31, yang ditemui pada majlis pelancaran muzik video dan trailer filem Lagenda Budak Setan 2 - Katerina di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini mengakui, selepas berlakon dalam Ombak Rindu, dia telah menolak 10 tawaran berlakon filem lain.
"Saya memang selektif dan selepas Ombak Rindu, saya telah menolak lebih 10 tawaran berlakon filem daripada pelbagai produksi," katanya.
Kata Maya, dia tidak kisah kurang muncul di layar perak jika sebuah filem lakonannya dapat memberi impak kepada masyarakat.
"Pada tahun 2010, saya hanya muncul dalam satu filem sahaja iaitu Magika, itu pun untuk tiga minit sahaja, saya tidak kisah semua itu," ujar aktres kacukan Melayu-Jerman ini.
Tambah Maya, tawaran lakonan yang ditolaknya itu disebabkan dia hanya menerima watak yang tidak memberi impak kuat seperti watak mirip bohsia.
"Saya ada ditawarkan watak ala-ala seperti karakter bohsia, hanya tampil untuk cakap 'hello-hello', selepas itu habis begitu sahaja. Tiada gunanya kalau macam itu sahaja. Saya mahu penonton puas walaupun hanya muncul selama tiga minit," jelasnya.
Selain itu, Maya menjelaskan, dia juga turut pernah ditawarkan untuk muncul dalam sebuah filem aksi tetapi dia menolak tawaran tersebut kerana ia tidak menepati kriteria yang diperlukan sebagai pelakon.
"Kalau muncul untuk menangis, goda orang selepas itu habis di situ, tidak guna berlakon macam itu. Lebih baik saya selektif, biar berlakon sebuah filem tetapi ia memberi kesan untuk tempoh lama," jelasnya.
Bagi Maya, tidak guna berlakon filem hanya untuk ganjaran wang kerana ia akan dilupakan begitu sahaja tanpa memberi kesan apa-apa kepada penonton.
Izzah dan Katerina
Memegang watak sebagai Katerina dalam filem Lagenda Budak Setan 2 - Katerina dalam keadaan penonton masih lagi mengingati watak Izzah dalam Ombak Rindu, bukan satu masalah bagi diri Maya.
INTIM. Aksi lakonan Maya dan Remy dalam pementasan teater, Natrah di Istana Budaya.


"Melakonkan Izzah dan Katerina dalam satu jarak yang jauh dan saya tahu orang masih bercakap lagi mengenai Izzah kerana ia beri impak yang kuat kerana jalan cerita itu dramatik," katanya yang turut akan muncul dalam filem Lagenda Budak Setan 3 yang sudah selesai penggambaran dan ditayangkan pada tahun depan.
Berbanding karakter Izzah, kata Maya, Katerina berbeza kerana fokus utama dalam Lagenda Budak Setan 2 - Katerina bukan dirinya tetapi watak lakonan Farid Kamil iaitu Kasyah.
Maya juga tidak kisah apabila penonton nanti akan membandingkan wataknya dalam filem terbaharu itu dengan watak Izzah.
"Sebenarnya Izzah dan Katerina sangat berlainan sekali, Izzah merupakan seorang budak kampung manakala Katerina seorang wanita bandar, berpendidikan tinggi yang sangat bebas dan berdikari," ujar Pelakon Filem Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular 2011 ini.
Dia juga tidak meletakkan sebarang sasaran dan jangkaan terhadap watak Katerina kerana dalam industri kebelakangan ini banyak berlaku perkara yang tidak dijangka.
"Filem yang kita tidak sangka akan mendapat sambutan tiba-tiba meletup dan yang kita jangka tidak dapat dapat sambutan pula, walau bagaimanapun saya berharap filem baru lakonan saya ini dapat diterima peminat seperti Ombak Rindu," ujarnya yang menerima tawaran penerbit filem Sharad Sharan untuk melakonkan watak Katerina usai penggambaran filem Ombak Rindu.
- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard