Oscar: Bunohan dicalon, Zahiril terkejut



FILEM Bunohan, arahan Dain Iskandar Said yang berlatarbelakangkan masyarakat Kelantan telah tersenarai dalam pencalonan awal kategori Filem Bahasa Asing Terbaik anugerah Oscar.

Penyampaian Anugerah Academy ke-85 akan diadakan awal tahun depan. Ia bakal berentap bersama 70 filem lain dari seluruh dunia.

Ketika dihubungi Sinar Harian Online, pelakon utamanya, Zahiril Adzim akui dia terkejut apabila dimaklumkan pagi ini.

“Saya mendapat tahu pagi ini tentang pencalonan Bunohan  dalam Oscar dan saya memang terkejut,” demikian reaksi Zahiril ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Penolong Pengarah Komunikasi Korporat Finas, Mohd Nashrul Shah Hamid memberitahu Sinar Harian Online bahawa pihaknya telah "menghantar filem Bunohan untuk dicalonkan di anugerah Oscar."

"Buat masa ini pihak Finas masih menunggu keputusan daripada pihak Oscar tentang pencalonan filem tersebut," katanya menerusi e-mel.

Laman web Oscar pula menyenaraikan nama kesemua 71 filem yang dicalonkan untuk kategori Filem Bahasa Asing Terbaik.

Pencalonan anugerah Oscar akan diumumkan secara langsung pada 10 Januari depan.

Bunohan ditayangkan di Malaysia pada 8 Mac lalu, namun hasil kutipannya kurang memberangsangkan meskipun hasil garapan pengarah dilaporkan amat bagus.

 “Sebagai sebahagian daripada krew produksi, saya berbangga kerana dapat menaikkan nama negara di mata dunia melalui karya seni kita sendiri.

“Tidak ada perkataan lain selain bersyukur yang dapat saya katakan,” katanya.

Malah katanya, “sebelum ini PGL (Puteri Gunung Ledang) juga telah sampai ke tahap ini walaupun tidak menang.”

Ketika ditanya tentang pengarah filem itu, Zahiril berkata, Dain Said mempunyai cara kerja yang lain dan beliau lebih teliti terhadap kerjanya.

Difahamkan Dain kini berada di luar negara.

“Saya bersama Dain Said selama dua bulan untuk belajar bahasa Kelantan dan di situ saya melalui proses adaptasi supaya kami sama-sama dapat mencapai tahap yang kami inginkan.

Zahiril memberitahu, sebuah syarikat penerbitan asing juga menawarkan pembelian hak pengedaran filem ini.

“Filem ini mungkin tidak mendapat sambutan di Malaysia, memang tidak dinafikan perasaan kecewa itu ada.

“Tetapi apabila ada pihak yang menawarkan untuk membeli hak pengedaran filem ini di tempat mereka, saya fikir orang luar mahu melihat apa yang mereka tidak ada sedangkan masyarakat kita sudah terdedah dengan suasana dalam Bunohan,” jelasnya.

Zahiril menambah, “memang lumrah manusia, kita mahu melihat apa yang kita tidak ada.”

Filem yang menggandingkan pelakon hebat seperti Faizal Hussein, Pekin, Bront Palarae, Namron dan Shoffi Jikan ini dilihat membawa kelainan dalam genre filem Melayu di Malaysia.- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard