PETALING JAYA: Penyanyi popular era 80-an, Zaiton Sameon secara peribadi berasa kurang senang dengan jalan cerita yang dipaparkan menerusi filem biografi yang memaparkan kisahnya iaitu Zaiton Ceritaku.
Zaiton, 55, berkata, ada beberapa perkara dalam filem itu tidak ditapis seperti adegan yang menunjukkan dia kurang siuman termasuklah babak ketika dia berada di tempat kejadian ketika kematian ibu serta yang berkaitan keluarga.
“Semuanya sudah selesai (filem sudah siap), jadi tak ada apa yang boleh saya katakan lagi walaupun ada beberapa perkara dalam filem itu yang kurang saya gemari,” katanya.
Zaiton berkata demikian sewaktu ditemui selepas tayangan media filem Zaiton Ceritaku di sini pada Selasa.
Penyanyi yang popular dengan lagu Menaruh Harapan itu menjelaskan pihak produksi filem berkenaan tidak berjumpa dengannya ketika proses penulisan skrip sehinggalah dia diminta menandatangani satu kontrak perjanjian.
Katanya, faktor ingatan yang begitu lemah ketika itu telah mendorongnya untuk menandatangani perjanjian berkenaan dan seterusnya bersetuju untuk filem tersebut dihasilkan.
Bagaimanapun jelas Zaiton, secara keseluruhan dia berpuas hati dengan penghasilan filem tersebut walaupun ia tidak semua menepati jangkaannya.
Filem tersebut merupakan arahan pertama pelakon Esma Daniel dan akan ditayangkan bermula 1 November depan. Ia diterbitkan oleh Bruang Filem Sdn Bhd.
Antara pelakon yang terlibat dalam karya tersebut ialah Nadia Aqilah, Sahronizam Noor, Karl Shafek, Arash Mohamad, Norlia Ghani dan Fazlina Ahmad Daud.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Zaiton mengakui tersentuh hati dan berasa sebak selepas menyaksikan babak-babak yang memaparkan watak Allahyarham anak lelakinya Azirwan Abu Bakar.
Katanya, adegan berkenaan mengingatkan semula kepada kemalangan ngeri yang menimpanya pada 21 Februari 1990 sehingga meragut nyawa anak tunggalnya yang berusia 13 tahun ketika itu.
“Saya sebak apabila mengimbas kembali detik-detik kemalangan sehingga mengorbankan nyawa anak saya,” katanya.
Zaiton ditimpa kemalangan ngeri di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat Batang Kali dekat sini, ketika dalam perjalanan pulang dari Kuala Ketil, Kedah menuju ke Kuala Lumpur selepas mengadakan persembahan.
Selain kehilangan anaknya, Zaiton yang cedera teruk pada leher dan kaki terlantar koma selama enam bulan. Turut terkorban dalam kemalangan itu adalah pemuzik pengiringnya, Ismail Shaari, 20.
-
---
No comments:
Post a Comment