MAJLIS pertunangan aktres Elly Mazlein dan pengarah filem Azmi Hatta yang lengkap dengan kereta kuda di Dewan Berjaya, Bukit Kiara Equestrian Resort, Kuala Lumpur pada 29 Mei tahun lalu belum luput daripada ingatan.
Mengikut perancangan, mereka akan disatukan sebagai suami isteri pada Februari lalu, namun disebabkan kesibukan jadual kerja, tarikh itu ditunda sehingga Disember depan.
Bagaimanapun, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlin Syed Hanafi yang ditemui pada majlis pelancaran trailer Awan Dania The Movie di Kafe Barbara, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor baru-baru ini nampaknya bermain teka-teki dengan pihak media berhubung status hubungan terkini dengan tunangnya itu.
Cincin pertunangan tidak kelihatan di jari manisnya. Apabila disoal sebab kenapa dia tidak menyarungkan cincin pertunangannya itu, alasan yang diberi Elly: "Saya tidak sempat pakai sebab mahu keluar rumah cepat."
Ditebak mungkinkah hubungannya dengan tunang yang berstatus duda anak dua itu telah terputus di tengah jalan, dia tidak mengesahkan mahupun menafikan, tetapi kata Elly, dia tidak akan menyembunyikan kebenaran di sebalik hubungannya selepas mendapat jawapan yang pasti.
"Saya tidak mahu beri sebarang komen, lebih selesa berdiam diri. Saya harap semua faham kerana hal ini berkaitan dengan kehidupan peribadi saya.
"Bagi saya sesuatu yang normal tidak semestinya orang yang bertunang mengakhiri hubungan mereka dengan perkahwinan, ada yang berkahwin pun bercerai juga," katanya dalam nada berkias.
Meskipun tarikh pernikahan tersasar jauh daripada perancangan awal, tegas Elly yang kini berusia 32 tahun, keluarganya tidak memaksanya segera bernikah.
"Memang saya sangat bersyukur kerana keluarga amat memahami saya. Mereka tidak pernah paksa saya untuk lakukan sesuatu perkara, sama juga halnya dengan perkahwinan.
"Faktor usia tidak membuatkan saya mahu segera berkahwin. Buat apa saya ikut kata orang dan puaskan hati pihak lain sedangkan diri sendiri yang merana. Saya jenis orang yang ikut kata hati," balasnya.
Luah Elly lagi, meskipun belum berkahwin, kehidupannya kini cukup bahagia terutamanya dengan lambakan kerja yang tidak pernah putus.
Kembali menyanyi
Elly pernah bergelar seorang penyanyi popular pada awal kemunculannya, namun, disebabkan tawaran lakonan yang lebih banyak diterima, Elly lebih dikenali sebagai pelakon berbanding penyanyi.
Selepas meninggalkan pentas nyanyian selama tujuh tahun, kata Elly yang bernaung di bawah EM Entertainment, kini dia bersedia bersaing kembali di pentas seni suara dan bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Sabarlah Hati.
"Buat masa ini fokus saya hanya pada lagu single yang dicipta oleh Manusia Putih dan akan berada di corong radio pada November depan.
"Kiranya lagu ini sebagai satu tanda kemunculan semula saya dalam seni suara. Lagu terbaharu ini sangat berbeza dengan lagu-lagu saya sebelum ini walaupun masih berada dalam genre balada," katanya mengenai lagu yang menjalani proses mastering di Australia itu.
Walaupun sudah lama tidak muncul dengan sebarang album, kali terakhir pada tahun 2005, Elly yang pernah terlibat dalam puluhan drama seperti Bella, Spa Q dan Gerak Khas yakin kemunculannya masih dinantikan oleh peminat.
Bahkan peminat yang memberi dorongan untuknya muncul dengan lagu terbaharu.
"Sebenarnya saya cukup rindu untuk menyanyi semula. Apabila lihat rakan penyanyi yang sezaman dengan saya masih aktif menyanyi, timbul rasa cemburu, bilakah saya mahu berada di atas pentas seperti mereka.
"Kalau ikutkan desakan peminatlah yang membuatkan saya muncul dengan lagu baharu. Jika mengikut jadual yang padat memang sampai bila pun saya tidak masuk studio untuk rakam lagu tetapi kali ini saya nekad," tuturnya yang merakam lagu Sabarlah Hati pada Ramadan lalu.
Sungguhpun bakal aktif semula sebagai penyanyi, beritahu penyanyi Bungaku Bakawali itu, dunia lakonan tidak akan ditinggalkan sama sekali kerana permintaan untuknya terus berlakon masih ada.
"Apabila sudah kembali menyanyi, dunia lakonan tidak akan saya tinggalkan. Saya akan lakukan kedua-dua bidang serentak.
"Cuma mungkin saya akan kurangkan kerjaya lakonan buat sementara waktu untuk memberi laluan kepada kerjaya nyanyian. Saya tidak boleh tamak kerana saya juga yang susah apabila jadual bertindih antara satu sama lain," jawabnya.
Gedik
Elly yang bakal muncul dengan filem Awan Dania The Movie pada hujung tahun ini bersama Scha Al-Yahya, Rusdi Ramli dan Jehan Miskin tidak sabar untuk menanti reaksi penonton terhadap lakonannya dalam filem tersebut.
Dalam filem yang diangkat daripada drama bersiri Awan Dania itu, Elly memegang watak Tania, seorang pramugari yang sangat gedik dan sering bertelingkah dengan karakter Dania yang dibawakan Scha.
"Ini merupakan kali kedua saya bekerja dengan Scha selepas drama Bella pada tahun 2008. Watak saya sangat berbeza dengan diri saya yang sebenar.
"Tania seorang yang sangat over dalam segala hal baik pakaian mahupun perangainya. Sebelum ini saya selalu bawa watak baik, jadi apabila diberi watak sebegini saya sungguh seronok," ujarnya.
Tidak bimbang peminatnya akan lari disebabkan watak yang dibawakan, kata Elly, peminat filem sekarang lebih bijak, malah, disebabkan wataknya itu mungkin dia akan mendapat peminat yang baharu.
"Peminat tidak akan lari kerana watak jahat saya, saya yakin peminat sekarang lebih bijak. Watak Tania memberi satu pembaharuan kepada kerjaya lakonan saya.
"Selain itu, saya juga tidak bimbang ditenggelami watak yang lain dalam filem ini kerana watak Tania merupakan watak baharu yang hanya diwujudkan dalam filem," luahnya.
-
---
No comments:
Post a Comment