PETALING JAYA: Pelakon Johan As'ari mengakui tidak dapat melupakan dua heroin yang pernah bekerjasama dengannya dalam drama rantaian Cinta Elysa dan Pelangi Kasih iaitu Fasha Sandha dan Nabila Huda.
Johan berkata, ingatan itu bukanlah bermaksud dia mempunyai perasaan terhadap mereka tetapi menghargai ilmu yang diberikan bagi membolehkan Johan berjaya dalam bidang lakonan.
"Fasha dan Nabila telah lama bertapak dalam dunia lakonan dan sebagai pelakon baru bukan mudah untuk berlakon dengan mereka.
"Mereka adalah dua bintang yang cukup saya kagumi kerana tidak lokek dengan ilmu dan banyak memberi tip dan panduan kepada saya," katanya.
Tambah Johan yang lebih dikenali dengan nama Botak berkata, dia tidak keberatan untuk bekerjasama dengan mereka lagi pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Johan yang baru memenangi Anugerah Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011)berkata, dia berharap kemenangan itu tidak akan menyebabkan dia terus lenyap daripada industri hiburan seperti mana yang berlaku kepada beberapa artis lain sebelum ini.
Ujar Johan, dia percaya bahawa jatuh bangun seseorang artis itu bukannya kerana badi memenangi anugerah sebaliknya usaha mereka dalam melakukan sesuatu.
"Mungkin sebelum ini ada yang cepat lupa diri selepas menang anugerah yang akhirnya memakan diri mereka sendiri.
"Bagaimanapun rezeki itu datangnya daripada Allah dan kita sebagai manusia takkan nak berpeluk tubuh sahaja dan perlu melakukan sesuatu untuk diri sendiri," katanya.
Sementara itu, Johan berkata, dia menjadikan pelakon senior iaitu Rosyam Nor sebagai idolanya dan mengagumi semangat aktor itu yang berjaya mempertahankan popularitinya.
Ujar Johan, semangat seperti Rosyam sepatutnya dijadikan contoh oleh artis baru sepertinya dan mengambil peluang untuk belajar jika berkesempatan.
"Saya berlakon bukan untuk disukai peminat tetapi untuk disayangi kerana keberkesanan watak yang saya bawa.
"Lihat sahaja seperti Rosyam, kesungguhannya telah meletakkan namanya menjadi kukuh pada hari ini,” katanya.
- ---
No comments:
Post a Comment