Ryzal Jaafar Enggan Kenang Semula Kontroversi Homoseksual & Gambar Bogel

Ryzal Jaafar
PETALING JAYA: Aktor kacak Ryzal Jaafar enggan menoleh ke belakang dan mengenangkan semula kontroversi hitam berhubung penyebaran gambar bogel dan fitnah yang menuduhnya sebagai seorang homoseksual pada tahun lalu.
Ryzal atau nama sebenarnya Mohd Shahrizal Jaafar, 30, berkata walaupun periuk nasinya tidak terjejas, dia tetap berasa trauma dan tertekan dengan kontroversi yang pertama kali memalit dirinya sepanjang lapan tahun bergelar artis.
“Saya tidak mahu kenang lagi peristiwa yang sangat memalukan itu. Alhamdulillah, kerjaya saya sebagai pelakon tidak tergugat walaupun maruah saya tercalar dengan fitnah tersebut.
“Tidak pernah saya alami kontroversi sebegitu sepanjang menjadi artis. Ia adalah satu tamparan buat saya.
“Mujurlah, saya masih mendapat kepercayaan rakan-rakan, stesen televisyen dan peminat yang menjadi penguat semangat untuk saya terus melangkah,” luahnya  baru-baru ini.
Pelakon dari Alor Setar itu berkata, sehingga hari ini dia masih terfikir apakah kesalahan yang sudah dilakukan kepada pihak yang menyebarkan fitnah itu sehingga dia diperlakukan sedemikian.
“Bukan mahu mengungkit atau memeningkan kepala tetapi sampai ke hari ini, saya sering tertanya-tanya apakah kesalahan yang sudah saya lakukan kepada pihak tersebut sehingga tergamak menganiaya saya sebegitu teruk?
“Kalau diperhatikan, senario fitnah yang mendakwa segelintir aktor di Malaysia ini kononnya homoseksual semakin menjadi-jadi. Bukan saya sahaja mengalami, malah ramai lagi artis lain turut berdepan dilema yang sama.
“Kejadian ini mengajar saya agar lebih berhati-hati dan lebih selektif dalam bersahabat. Kita tidak boleh sewenangnya mempercayai orang lain sepenuhnya kerana apa sahaja kemungkinan boleh berlaku pada hari ini,” katanya.
Terbaru, drama bersiri sebanyak 13 episod lakonannya berjudul Friday I’m In Love (FIIL)akan disiarkan bermula 19 April ini pada setiap Khamis pukul 8.30 malam menerusi slot Aurora di TV9.
Selain Ryzal, drama bertemakan kisah percintaan anak muda itu turut membariskan Qi Razali, Zoey Rahman, Aiman Hakim Ridza, Bella Dally dan Nellydia Senrose.

- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard