Anggap Sudah Tua, Normala Enggan Jadi Pengacara

Normala Samsuddin 
KUALA LUMPUR: Bekas personaliti TV3, Datin Seri Normala Samsuddin nekad meninggalkan terus dunia glamor dan enggan bergelar seorang pengacara jika ditawarkan oleh mana-mana pihak.
Normala berkata, beliau merasakan zamannya sudah berakhir dan ingin memberikan tumpuan sepenuhnya kepada rumah tangga dan keluarga.
"Saya sudah tua dan rasanya tak payah la lagi muncul sebagai pengacara. Beri pula kepada muka-muka baru.
"Tambahan pula saya kini gembira dengan kehidupan sebagai seorang isteri, ibu dan nenek. Ia adalah perkara terbaik dan terpenting dalam hidup saya kini," ujarnya  pada majlis memperkenalkan 20 Finalis Program On Air di sini pada Rabu.
Ujarnya, komitmen yang diperlukan sebagai seorang pengacara adalah antara faktor beliau enggan kembali menjadi pengacara walaupun banyak tawaran diberikan kepadanya.
"Saya bukannya seorang wanita muda yang boleh bergerak ke sana ke mari dengan pantas kerana bidang ini memerlukan komitmen yang tinggi.
"Daripada menimbulkan masalah kemudian hari lebih baik kita elakkan," ujarnya.
Dalam pada itu, Normala menolak dakwaan beliau tidak mahu untuk muncul dalam dunia penyiaran kerana dihalang oleh suaminya, bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitariaitu, Datuk Seri Azmi Khalid.
"Suami tidak pernah menghalang cuma tidak begitu menggalakkan saya untuk terus tampil di televisyen. Bagaimanapun keputusan ini saya buat atas pilihan sendiri dengan panduan daripada suami," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai penglibatannya sebagai juri tetap program On Air, Normala memberitahu, Aznil Nawawi telah memintanya menjadi sebahagian daripada individu untuk terlibat dalam rancangan realiti itu selepas menjadi juri jemputan pada uji bakat sebelum ini.
Normala berkata, dia bersetuju untuk menyertai selepas mendapat keizinan daripada suaminya.
"Suami setuju saya terlibat kerana saya menjadi juri dan bukannya menghoskan program itu.
"Saya bagaimanapun teruja untuk berkongsi pengalaman bersama-sama peserta terpilih nanti, katanya.
Normala akan muncul dalam program Studio On Air pada setiap hari Ahad pukul 10 malam bermula 27 Mei ini di saluran Astro Ria.

- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard