PETALING JAYA: Pelakon jelita Maya Karin menjelaskan dia sudah bersedia untuk kembali menjalinkan hubungan cinta selepas bercerai dengan Muhammad Ali Abdullah pada 2010.
Maya berkata, dia berharap dapat bertemu dengan seorang lelaki yang mempunyai keyakinan diri dan tidak takut kepada cabaran.
"Saya sudah bersedia untuk mencari jodoh selepas kegagalan rumah tangga dulu tapi orang mungkin takut untuk mendekati saya kerana status selebriti yang ada pada diri saya.
"Bagaimanapun saya berharap lelaki itu nanti tidak hanya melihat sisi saya sebagai seorang pelakon kerana saya juga adalah wanita biasa," ujarnya kepada akhbar The Star, Sabtu
Dalam pada itu, Maya berkata, kejayaan Ombak Rindu yang berjaya mengutip hampir RM11 juta bukan sahaja telah mengubah kerjaya lakonannya malah dirinya sendiri.
Kata Maya, watak sebagai Izzah seorang gadis kampung yang polos dijadikan inspirasi kepadanya dalam menjadi seorang yang lebih baik dalam kehidupan seharian.
"Saya cuba mengekalkan sebanyak mungkin kualiti pada watak Izzah seperti kesabaran, tenang, sikap positif apabila timbul masalah dan sebagainya.
Bercakap mengenai perkembangan terbaru Maya berkata, dia bakal bekerjasama dengan Datin Paduka Shuhaimi Baba dan pengarah filem Ombak Rindu, Osman Ali untuk filem terbarunya.
Bagaimanapun kata Maya, akibat kekangan masa banyak karya yang bagus terpaksa ditolak buat masa ini dan dia menganggap bukan rezeki buatnya
"Saya sangat sibuk dengan beberapa projek yang telah diterima sebelum ini malah pada hari cuti pun saya perlu memenuhi undangan sesi penggambaran bersama media.
"Masa lapang saya pun dikorbankan untuk bersama keluarga dan rakan-rakan itu pun masih terkejar-kejar dengan pelbagai perkara," ujar Maya.
- ---
No comments:
Post a Comment