Ketika sedang berdepan dengan kemelut rumah tangga yang
mencengkam, dramatis, Rita Rudaini Mokhtar yang berusia 36 tahun ini
dikejutkan pula dengan gosip kononnya majlis hari jadinya pada 11 April
lalu, ditaja seorang Datuk yang dikenali dengan panggilan Datuk R.
Majlis sambutan hari jadi Rita di buat di sebuah hotel mewah di Kuala
Lumpur yang dikatakan diuruskan oleh rakan Rita. Namun menurut satu
sumber yang terlibat dalam majlis sambutan itu memberitahu bahawa segala
perbelanjaan majlis tersebut ditaja seorang VIP, iaitu Datuk R.
Datuk R juga dikatakan merupakan pencetus idea kek yang unik pada majlis
tersebut dimana khabarnya kek tersebut bernilai hampir RM1, 000.
Ibu kepada dua cahaya mata itu ketika dihubungi nyata kecewa dengan
dakwaan yang disiarkan beberapa portal hiburan tempatan. Rita yakin,
dakwaan tersebut sengaja disebarkan bertujuan untuk merosakkan
reputasinya.
"Saya sedih kerana dakwaan itu sangat melampau. Sedangkan majlis yang
saya buat itu dengan tujuan baik. Meraikan keluarga dan rakan yang
selama ini banyak membantu saya membina karier sebagai pelakon."
"Mengapa sekarang baru timbul cerita saya ditaja Datuk yang saya sendiri
tidak kenal siapa dimaksudkan kalau tidak tujuannya mahu mempengaruhi
umum membabitkan kes perceraian bakal berlangsung?"
"Taktik seperti itu sangat hina dan menjijikkan. Tidak perlu hendak
memburukkan saya dengan cerita bukan-bukan. Saya tidak pernah hadap duit
orang sebab saya boleh cari duit sendiri. Selama ini saya menanggung
hidup dengan hasil titik peluh sendiri, termasuk menyara keluarga dan
anak," katanya kepada Harian Metro.
Tambah Rita, mengapa ketika dia memandu kereta mewah tiada siapa sebut
dirinya ditaja Datuk. Adakah kerana sebelum ini dia berstatus isteri
orang. Walaupun permohonan cerai sudah difailkan, Rita menjelaskan
bahawa dia tidak sesekali akan melakukan perkara yang boleh menjejaskan
maruah diri, keluarga dan agama.
Jelasnya lagi, segala perbelanjaan majlis tersebut adalah daripada
simpanannya sendiri hasil titik peluhnya sepanjang hampir 15 tahun
berada dalam industri hiburan. Majlis ini dibuat bagi menghargai
orang-orang yang banyak menyokongnya selama ini.
"Disebabkan sibuk di lokasi, saya meminta bantuan Diana dan Linda Rafar
untuk mengaturkan majlis. Pada majlis itu juga, kebetulan suami Diana,
Zamarul Hisham kini giat dengan perniagaan coklat dan mereka berbesar
hati menaja buah tangan buat tetamu dengan memberikan coklat."
Sementara itu, ketika ditanya adakah dengan gosip ini akan mempengaruhi
keputusan perbicaraan kes perceraiannya tidak lama lagi, Rita enggan
mengulas.
"Saya serahkan segala-galanya kepada peguam dan mereka lebih tahu apa
hendak dilakukan. Pada saya, cukup jika orang terdekat tahu apa
sebenarnya berlaku."
"Saya juga berharap tiada pihak cuba mencampuri urusan perceraian yang
bakal berlangsung dan bertindak ibarat lebih sudu daripada kuah sehingga
mengganggu dan mempengaruhi perjalanan perbicaraan," katanya.
-
---
No comments:
Post a Comment