Zizan Razak Anggap Aznil Sebagai Hero




Zizan (Raja Lawak).
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Zizan Razak sangat mengagumi pengacara terkenal iaitu Aznil Nawawi dan menganggap beliau sebagai seorang hero.
Zizan berkata, dia sentiasa menjadikan pengacara terkenal itu sebagai rujukan dan bercita-cita untuk menjadi sepertinya suatu hari nanti.
"Nama Pak Nil sangat besar dalam industri hiburan dan sebagai pengacara. Saya sendiri sentiasa melihat dia seperti seorang hero yang telah memberi banyak panduan kepada pengacara baru seperti saya," katanya .
Dalam pada itu, Zizan berkata dia berasa terharu apabila Aznil sendiri naik ke pentas semasa Anugerah Bintang Popular Berita Harian(ABPBH 2011) baru-baru ini untuk menyampaikan trofi kemenangannya sebagai Pengacara Lelaki Paling Popular.
Zizan berkata, dia sangat terkejut dengan tindakan Aznil itu dan terharu dengan sikap beliau yang sanggup berbuat demikian.
"Situasi di mana Pak Nil naik ke pentas dan menyerahkan trofi kepada saya adalah pengalaman indah buat diri saya sepanjang bergelar artis kerana beliau adalah ikon dan saya sendiri memandangnya sebagai seorang hero," ujarnya.
Tambah Zizan, dia juga tidak menyangka akan memenangi kategori itu kerana merasakan tidak layak untuk menyandang gelaran tersebut.
"Sembilan tahun Pak Nil memegang takhta pengacara paling popular dan tiba-tiba nama saya disebut. Ia adalah sesuatu yang sungguh tak disangka-sangka," ujarnya.
Sementara itu, Zizan berkata, dirinya semakin selesa bergelar pengacara dan tidak berhasrat untuk meninggalkan bidang itu dalam masa terdekat.
Zizan memberitahu, masih banyak perkara perlu dipelajarinya dalam menjadi seorang pengacara yang baik dan dihormati seperti Aznil.
"Saya mula-mula berjinak-jinak dengan bidang pengacaraan apabila diberi peluang menjadi pembantu pengacara dalam program AC Di Sini yang pernah popular satu ketika dahulu.
"Semenjak itu saya tidak pernah berpaling lagi dan menyedari saya ada bakat dalam sebagai pengacara," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zizan berkata, kerjayanya kini sangat padat dengan pelbagai jadual penggambaran selain dia perlu bijak membahagikan masa agar tiada percanggahan jadual.
Kata Zizan, dia bagaimanapun tidak merungut dengan situasi itu kerana apa yang dilakukannya hari ini adalah pekerjaan yang sangat dicintainya.
"Penat memang penat tetapi semuanya berbaloi kerana apa yang dilakukan adalah sesuatu yang sangat saya cintai," katanya.

- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard