Zed Zaidi Tidak Matang Pertikai Kemenangan Aaron Aziz

Aaron Aziz.
PETALING JAYA: Bintang Paling Popular, Aaron Aziz menegur aktor Zed Zaidi yang mempersoalkan kemenangannya dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) Ahad lalu.
Aaron berkata Zed yang menjadikan faktor kenegaraan bagi mempertikaikan kemenangannya adalah satu pemikiran yang tidak matang apatah lagi ia datangnya daripada Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).
"Saya tak boleh nak halang dia untuk menulis apa sahaja dalam entri Twitter miliknya kerana itu hak masing-masing.
"Cuma jika begitulah pemikiran dia yang juga merupakan orang penting dalam Seniman, saya rasa, dia tak cukup matang. Apa-apa komennya itu tidak menjejaskan saya," katanya yang dihubungi di sini, Isnin.
Aaron diminta mengulas mengenai entri menerusi Twitter milik Zed pada Ahad lalu yang dilihat seperti kecewa di atas kemenangan Aaron, seorang warga negara Singapura.
Antara komen Zed Zaidi menerusi Twitter miliknya yang mempersoalkan kemenangan Aaron Aziz. 
Zed secara menyindir turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang mengundi pelakon itu kerana ia dilihat seperti menggalakkan artis luar merosakkan industri seni tempatan.
Dalam pada itu, Aaron menambah, dia percaya seni lakonan tiada sempadan dan isu kenegaraan sebenarnya tidak perlu dibangkitkan apatah lagi dia tidak pernah mengganggu “periuk nasi” Zed Zaidi selama ini.
"Apa juga jenis seni sekalipun, ia sebenarnya tiada sempadan. Lagipun kemenangan ini adalah pilihan orang ramai. Kalau saya kacau periuk nasi dia, lainlah. Insya-Allah, kalau dia masuk pertandingan saya akan undi dia,” sindir Aaron.
Sementara itu, Aaron berharap permohonannya untuk mendapat taraf penduduk tetap negara ini dapat diluluskan dengan segera bagi membolehkannya melebarkan sayap sebagai pelakon di negara ini.
"Insya-Allah kalau dah ada kerakyatan nanti boleh dicalonkan dalam Festival Filem Malaysia (FFM) atau anugerah lain yang dinilai secara profesional. Dari situ nanti barulah kita tahu sama ada saya sebenarnya adalah seorang pelakon yang baik atau tidak," katanya lagi.
Zed Zaidi
Dalam perkembangan lain, Aaron bakal muncul dengan beberapa buah tangan terbaru untuk para peminatnya iaitu filem KL Gangster 2, Kerat 14, Taikun dan Taicoon serta drama bersiri Adam dan Hawa untuk Astro Prima.
Selain itu, Aaron memberitahu, pada bulan Jun depan dia bakal berangkat ke Brunei bagi menjalani penggambaran filem pertama terbitan syarikat produksi negara itu dan juga dipilih oleh KRU Studios untuk terlibat dalam Cicakman 3.
"Tahun ini adalah tahun yang cukup sibuk untuk saya kerana banyak projek yang perlu dilunaskan dan ini semuanya rezeki daripada Allah untuk saya dan keluarga," katanya.
Aaron diumumkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 2011 yang diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands dengan undian sebanyak 87,669.
Kemenangan itu membolehkan Aaron membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta Nissan Teana 2.5 sumbangan Tan Chong Motor Sdn Bhd dan barangan kemas sumbangan Rafflesia bernilai RM250,000.
Dia turut memenangi anugerah Pelakon Filem Lelaki Popular menerusi acara itu.

- ---

1 comment:

  1. Jangan ade double standart....jika pekerja asing dikenakan permit kenapa artis luar yang bekerja xpayah pkai permit.........aku sokong zed zaidi.

    ReplyDelete

Labels

Adbox

@templatesyard