SETIAP kali sambutan Minggu Setiausaha yang biasanya diraikan pada bulan April setiap tahun, penyanyi popular Anuar Zain antara yang menjadi kegemaran menghiburkan para setiausaha.
Pada 10 April lalu, kira-kira 1,000 peminatnya yang terdiri di kalangan setiausaha telah berpeluang menyaksikan persembahan penyanyi berusia 42 tahun itu pada acara Anuar Zain Secretaries Week 2012 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Selain menikmati makanan tengah hari yang disediakan, para peminat yang hadir turut didendangkan dengan dendangan beberapa buah lagu popular yang dinyanyikan oleh penyanyi berkenaan.
Antara lagu yang dinyanyikan adalah Keabadian Cinta, Sesuci Cintamu, Bila Resah, Ajari Aku, Sedetik Lebih, Semua Untukmu, Ku Berjanji Karna Cinta, Suria dan Siara serta sebuah lagu Inggeris berjudul Saving All My Love For You sempena tribute buat mendiang Whitney Houston.
Ketika ditemui selepas usai persembahan, Anuar meluahkan rasa lega kerana masih mampu menghiburkan tetamu yang hadir, biarpun dirinya berada dalam keadaan yang kurang sihat.
“Pada mulanya saya cukup risau kerana demam dan takut akan menjejaskan persembahan saya, namun demi peminat saya lupakan keadaan kesihatan semata-mata untuk tidak mahu menghampakan mereka.
“Bagaimanapun, saya gembira dan bersyukur kerana maklum balas yang diterima daripada peminat yang datang sangat positif, walaupun saya akui tidak dapat tampil dengan persembahan yang terbaik kerana keadaan kesihatan yang kurang memuaskan,” ujarnya.
Menariknya, peminat yang hadir bukan sahaja telah dihiburkan dengan lagu-lagu popular yang didendangkan Anuar, malah mereka turut berpeluang untuk beramah mesra dan bergambar dengan penyanyi tersebut.
Memulakan persembahan pada pukul 2 petang dan berakhir dua jam kemudian, selepas itu penyanyi yang juga adik kepada Ziana Zain itu turut meluangkan masa bersama tetamu sehingga pukul 9 malam.
“Selalunya dalam setiap persembahan sempena Minggu Setiausaha yang dijayakan, sudah tentu akan ada sesi bersama tetamu yang hadir dan inilah peluang terbaik untuk saya beramah mesra dengan mereka.
“Saya akan melayan sehingga tetamu yang terakhir dan tidak kisah kalau sesi tersebut berlangsung dalam tempoh yang agak lama. Lagipun saya harus memikirkan tetamu yang sanggup membayar harga tiket yang cukup mahal dan seharusnya mereka perlu dilayan sebaik mungkin,” jelasnya.
- ---
No comments:
Post a Comment