Michelle Yeoh Sukar Berdialog Dalam Bahasa Burma

Aktres Datuk Michelle Yeoh kembali ke tanah air bagi mempromosikan filem The Lady 
KUALA LUMPUR: Pelakon antarabangsa Datuk Michelle Yeoh mengakui berasa sukar untuk mengungkapkan dialog dalam bahasa Burma (kini Myanmar) bagi watak sebagai pejuang kebebasan demokrasi negara itu, Aung San Suu Kyi dalam filem The Lady.
Menurut bintang filem kelahiran Ipoh, Perak itu, dia perlu mengingati dialog yang panjang bagi babak-babak ucapan pengasas parti politik Liga Demokrasi Kebangsaan itu ketika berkempen.
“Saya akui persediaan untuk babak ketika Suu Kyi menyampaikan ucapannya di hadapan rakyat adalah paling mencabar kerana ia perlu dilakukan dalam bahasa Burma.
“Bukan sahaja dialognya panjang, malah ia perlu dirakamkan hanya satu kali sahaja bagi mengekalkan impak emosi di kalangan watak masyarakat yang mendengar ucapan itu,” katanya yang mendapat bimbingan guru bahasa Burma.
Yeoh berkata demikian ketika ditemui pada sidang media filem epik biografi arahan pengarah Perancis, Luc Besson di Hotel Ritz-Carlton, di sini, petang Selasa.
Aktres berusia 49 tahun itu berkata komitmen dalam filem itu juga menuntut persiapan fizikal yang menyeluruh bagi mendapatkan susuk tubuh yang seiras pemimpin itu.
“Saya membuat latihan fizikal seperti seorang pelari maraton. Saya perlu berlatih selama satu jam setengah sebelum dan selepas penggambaran pada setiap hari.
“Aspek persiapan fizikal sangat penting untuk tujuan stamina dan ketahanan sepanjang penggambaran. Apa yang lebih penting, ia bagi mengekalkan bentuk fizikal saya agar menyamai fizikal sebenar Suu Kyi,” katanya.
Sempat diusik adakah dia berminat untuk menceburi bidang politik selepas melakonkan watak pemimpin itu, Yeoh berkata ia adalah lapangan yang kompleks yang tidak mungkin termampu dilakukannya.
“Saya tidak pernah mempertimbangkan untuk bergelar ahli politik. Menjadi pelakon pun sudah mencabar apatah lagi untuk menjadi pemimpin.
“Saya sangat kagumi kekuatan ahli-ahli politik yang mampu berkompromi dalam segenap aspek kehidupan termasuk soal privasi. Kriteria seorang ahli politik tidak ada pada personaliti diri saya,” ujarnya.
Filem yang diinspirasikan daripada kronologi hidup pemenang Anugerah Keamanan Nobel (1991) itu turut dibintangi antaranya David Thewlis, Jonathan Woodhouse dan Jonathan Raggett.
The Lady bakal ditayangkan di pawagam pada 3 Mei depan.

- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard