Putus Tunang Bukan Penyebab Akmar (AF3) Segerakan Pernikahan

Akma (AF3) 
PETALING JAYA: Bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga, Akma berkata langkah untuk menyegerakan pernikahannya yang dijadualkan pada hujung Jun depan bukan kerana serik akibat pernah putus tunang.
Akma atau nama sebenarnya Asiahtunakma Abdullah, 27, berkata keputusan itu dibuat kerana segala perancangan dan persiapan ke arah itu dilihat dengan berjalan lancar.
“Saya mahu menyegerakan majlis pernikahan pada hujung Jun depan bukan sebab saya berasa serik apabila perancangan untuk bertunang sebelum ini pernah terbatal.
“Secara kebetulan, perjalanan majlis merisik pada Mac lalu berjalan dengan baik sekali sehingga kami memutuskan untuk bertunang pada 6 Mei ini dan bernikah pula pada hujung Jun depan,” katanya ketika dihubungi petang Rabu.
Akma mengenali lelaki bernama Farih kira-kira lima tahun lalu. Hubungan mereka mula rapat sejak lelaki itu pulang dari Melbourne, Australia selepas menamatkan pengajian di negara tersebut kira-kira setahun yang lalu.
Berkongsi mengenai bakal tunangnya yang bekerja sebagai eksekutif di Petronas itu Akma berkata, faktor usia yang hanya berbeza setahun tidak menjadi masalah buatnya kerana kematangan dan sikap bertanggungjawab lelaki itu.
“Walaupun jarak usia kami hanya berselang setahun, saya dapati dia (Farih) seorang yang matang melebihi umurnya. Sifatnya yang rapat dengan keluarga memberikan keyakinan untuk saya memilih dia sebagai calon suami.
“Menariknya, dia juga seorang yang kelakar dan bijak mengambil hati keluarga saya,” katanya yang mendapat tajaan ketiga-tiga majlis itu daripada Butik Chantik.
Ditanya mengenai perkembangan terbaru, Akma kini mengajar kursus vokal di One Music Academy Malaysia di Subang sejak tiga bulan lalu.
“Saya mengajar secara separuh masa kerana memang sudah lama menyimpan hasrat untuk menjadi pensyarah vokal. Naluri saya memang suka mengajar.
“Pendapatan saya mengajar ini dapat menambahkan lagi sumber kewangan saya,” katanya yang kini terlibat dalam Karnival Mesra Belia Satu Felda Satu Malaysia anjuran Kementerian Belia dan Sukan pada setiap hujung minggu.

- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard