Bila Qi jadi buaya darat



BARISAN pelakon drama bersiri Friday I'm In Love bergambar selepas tamat majlis pelancaran drama tersebut di Restoran Ecoba. baru-baru ini.



PELAKON dan pengacara yang namanya kini sedang melonjak naik, Qi atau nama sebenarnya Qushairi Razali sering bertukar pasangan pada setiap minggu. Namun yang peliknya, Qi akan jatuh cinta pada setiap kali menjelang hari Jumaat dengan gadis yang berbeza. Hubungan tersebut bagaimanapun hanya boleh bertahan sehingga hari Khamis minggu berikutnya.
Namun Qi tidak pernah kecewa dan putus asa demi mencari cinta sejati dan berharap suatu hari dia pasti akan menemui seorang wanita yang benar-benar boleh bertahan dan membalas cintanya itu.
Bagaimanapun itu bukan situasi yang dialami dalam dunia realiti Qi. Sebaliknya, ia adalah situasi bagi watak Awang yang dilakonkan oleh Qi dalam drama terbaharu 13 episod berjudul Friday I'm In Love yang bakal ditayangkan di slot Aurora, TV9 bermula pada 19 April ini, setiap Khamis pukul 8.30 malam.
Selain Qi, antara pelakon yang terlibat dalam drama itu termasuklah Nabila Daly, Nelydia Senrose, Zoey Rahman, Ryzal Jaafar dan Aiman Hakim Redza.
Bercerita tentang wataknya, Qi yang ditemui pada sidang akhbar drama tersebut di Restoran Ecoba, Damansara Perdana, Selangor menyatakan Awang bukan seorang buaya darat walaupun dia kerap bertukar kekasih dan jatuh cinta.
“Sebenarnya Awang merupakan seorang yang kelam-kabut, lurus dan bersahaja serta tidak pernah takut untuk bercinta dan kecewa. Walaupun ada sahaja masalah yang timbul dengan cintanya sehingga perlu menukar teman wanita pada setiap minggu, namun dia tidak pernah takut.
“Dia hanya mahu mencari cinta sejatinya dan pada dasarnya juga, dia bukan seorang buaya darat, tapi keadaan yang memaksa dia menjadi begitu,” jelas Qi.


MEMEGANG watak Awang, Qi akan jatuh cinta pada setiap minggu dengan wanita yang berbeza-beza.



Cerita Qi, ini merupakan drama kedua lakonannya selepas Blogger Boy dan selepas dia berehat selama tiga tahun daripada dunia lakonan. Tiga tahun itu digunakan untuk memberi komitmen sepenuhnya dan fokus terhadap bidang pengacaraan.
Tambah kekasih Yuna ini lagi, sebab utama dia kembali aktif berlakon kerana dia berasa sudah tiba masanya untuk memberi fokus terhadap bidang lakonan pada tahun ini. Namun, dia mengaku masih baharu dan banyak lagi yang perlu dipelajari untuk menjadi pelakon yang baik.
“Saya berasa selesa bekerja dengan produksi ini dan pengarah Faizul Abdul Rashid. Sejujurnya, ini merupakan kali pertama saya benar-benar cuba berlakon. Ini kerana pengarah memberi kami kelonggaran untuk meluahkan idea masing-masing. Saya sangat seronok dan tidak pernah mendapat pengalaman sebegini.
“Jadi untuk tahun ini, saya mahu serius dan fokus terhadap bidang lakonan. Saya juga ingin memilih watak yang bersesuaian dengan saya dan tidak mahu mengambil semua tawaran berlakon yang diberikan,” ujar Qi yang sedang mempertimbangkan tawaran untuk tampil di layar perak kelak.
Tidak ingin terlalu bercerita mengenai perincian filem yang bakal diterimanya, Qi bagaimanapun memberi sedikit maklumat. Katanya, jika dia bersetuju untuk terbabit dalam filem tersebut, dia bakal memegang watak sebagai seorang bapa yang sanggup berkorban demi anaknya.

- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard