Datuk K Tertekan Spekulasi Kahwin Rozita Che Wan

Siti Nurhaliza.
SUBANG JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Taruddin mendedahkan Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa atau Datuk K agak tertekan selepas timbul gosip kononnya suami beliau itu telah menjalinkan hubungan sulit dengan pelakon popular, Rozita Che Wan.
Siti berkata, disebabkan suaminya seorang ahli korporat, beliau sering berjumpa dengan klien dan mereka kerap bertanyakan desas-desus berkenaan sehingga membuatkan fikiran Datuk K benar-benar terganggu.
"Gosip itu secara dasarnya telah memfitnah beliau dan sudah tentu menjejaskan emosinya kerana beliau telah dipandang serong oleh segelintir kenalan," ujarnya selepas ditemui pada sidang media Sepetang Bersama Datuk Siti Nurhaliza - Istimewa Hari Ibu di sini pada Isnin.
Siti diminta mengulas mengenai dakwaan terbaru yang disebarkan oleh beberapa blog hiburan kononnya Datuk K bakal berkahwin dengan Rozita Che Wan.
Rozita dalam masa sama turut menepis fitnah tersebut dan menganggap ia bertujuan untuk mengaibkan dirinya.
Dalam pada itu, Siti berkata, dia mempercayai keikhlasan Datuk K dan tidak pernah mempunyai perasaan curiga kerana mereka sering bersama.
"Saya kenal siapa Datuk K kerana dan sepanjang perkahwinan kami belum pernah ada perasaan sangsi di antara satu sama lain. Tambahan pula, kami sering bersama," ujar Siti.
Jelas Siti, ketika gosip tersebut tersebar dia tidak pernah bertanyakan perkara itu kepada suaminya kerana menganggap ia sebagai satu fitnah semata-mata.
Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid.
Malah beliau percaya jika perkara itu dibangkitkan, ia akan merosakkan rumah tangga mereka.
Sementara itu, ditanya adakah beliau ada berbincang dengan Rozita mengenai tuduhan itu, Siti memberitahu dia tidak perlu berbuat demikian.
“Rozita juga adalah mangsa dan hubungan kami tidak mempunyai sebarang masalah. Rozita sendiri sudah menafikan perkara itu dan tidak perlu rasanya untuk saya berjumpa dan meminta penjelasan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Siti bakal mengadakan sambutan istimewa bersempena sambutan Hari Ibu pada 13 Mei depan di Hotel Grand Dorsett di sini.
Siti berkata, beliau teruja untuk mengadakan persembahan berkenaan selepas kali terakhir menghiburkan para ibu pada tahun 2007.
"Kebetulan pada tarikh itu saya tidak ada sebarang aktiviti dan jemputan daripada pihak penganjur benar-benar menarik minat saya untuk menghiburkan para ibu pada hari istimewa itu nanti," ujarnya.
Tambah Siti, dia akan membuat persembahan selama 45 minit dengan pelbagai seleksi lagu lama dan baru sesuai dengan tema pada majlis berkenaan.
Tiket bagi mengikuti majlis berkenaan dijual dengan harga RM1,000, RM500, RM400, RM300 dan RM250 seorang.
Tempahan juga boleh dibuat dengan menghubungi Hotel Grand Dorsett di talian 03-5031-6060 atau 019-690 3767 (Anis), 019-3838 115 (Ros) atau pun boleh melayari Facebook 'Hari Ibu Bersama Datuk Siti Nurhaliza 2012’ untuk maklumat lanjut.

- ---

No comments:

Post a Comment

Labels

Adbox

@templatesyard