Begitu juga halnya dengan pasangan suami isteri, Rita Rudaini Mokhtar, 36 dan Aidil Zafuan Abdul Razak, 25 yang diuji dengan pelbagai dugaan sepanjang lima tahun tempoh perkahwinan mereka.
Setelah pelbagai dugaan dilalui dengan tabah, akhirnya kemelut rumah tangga pasangan ini tiba di kemuncaknya apabila kelmarin Rita menerima mesej daripada suaminya, Aidil Zafuan Abdul Razak mengenai permohonan cerai.
Menganggap apa yang berlaku sebagai takdir yang sudah tertulis untuknya, Rita tidak mahu melayan perasaan sedih sebaliknya hanya ingin menumpukan perhatian kepada anak-anak.
“Saya anggap apa yang berlaku sudah tertulis sebagai takdir saya. Saya percaya pada qada’ dan qadar Allah dan terima ia dengan redha.
“Malah, saya bersyukur sangat-sangat kerana kekuatan saya adalah pada mata anak-anak. Saya tidak kisah hilang yang lain asalkan anak-anak sentiasa bersama saya,” katanya yang ditemui semasa majlis hari lahirnya yang ke-36, hari ini.
Menurut Rita, permohonan penceraian tersebut tidak langsung memeranjatkannya memandangkan Aidil sendiri tidak pulang ke rumah mereka di Damansara sejak empat bulan lalu.
Mengakui sudah tawar hati dengan perangai suaminya, Rita bagaimanapun tidak pernah menyesal bergelar isteri kepada pemain bola sepak itu.
“Saya berkahwin dengannya atas dasar sayang dan cinta bukannya sebab duit. Pelbagai dugaan telah saya lalui sepanjang berkahwin dengannya malah saya pernah dipulaukan oleh orang kerana keputusan kami untuk berkahwin.
“Setiap kali kami ada masalah, dia sering sahaja menghilangkan diri dan meninggalkan saya dan anak-anak. Saya perlukan seorang lelaki yang matang dan tegas serta dapat melindungi diri saya dan anak-anak, bukannya lelaki yang lari apabila ada masalah.
“Secara jujurnya, sudah lama saya tawar hati dengan dia (Aidil), tetapi hanya kerana memikirkan anak-anak, saya tidak mahu perbesarkan hal ini,” katanya yang kelihatan sebak semasa ditemui.
Bagaimanapun, menurut Rita, dia hanya mengikut ketentuan Allah dan bersedia sekiranya sudah tertulis jodoh mereka masih panjang.
“Jika sudah tercatat jodoh kami masih panjang, saya akan terima namun jika dikatakan hanya setakat ini sahaja jodoh kami, saya redha,” katanya.
- ---
No comments:
Post a Comment